MYHRMIS Mobile

MYHRMIS Mobile

splwpk-electronic-archive
splwpk-publicising
splwpk-w3c
Feedback Form
Carian Laman
Carian Laman
splwpk-boradcast
splwpk-about-us
splwpk-client-charter
splwpk-news
splwpk-faq
splwpk-contact-details
splwpk-procurement
splwpk-online-e-participation

Selasa : September 15, 2026 - 5.30 pm

PENGURUSAN PAS PELAJAR

Pengurusan Pas Pelajar Kemudahan Pas Pelajar diberikan kepada pelajar warganegara asing yang ingin mengikuti pengajian di Malaysia di peringkat prasekolah, sekolah, institusi pengajian tinggi atau institusi pendidikan lain yang diiktiraf oleh Kerajaan Malaysia, tertakluk kepada syarat, kelayakan dan peraturan yang sedang berkuat kuasa.

1. Kelayakan Permohonan

1.1. Pelajar di Institusi Pengajian Tinggi (UA / IPTS)/ Pusat Bahasa, Pusat Latihan/Kemahiran dan Pusat Bertauliah

Kemudahan Pas Pelajar bagi kategori ini diberikan kepada pelajar warganegara asing yang memenuhi syarat berikut:

a) Mendapat tawaran pengajian daripada Universiti Awam (UA);

b) Mendapat tawaran pengajian daripada Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) yang telah mendapat kelulusan penubuhan dan pendaftaran program pengajian daripada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), serta program pengajian berkenaan telah mendapat akreditasi daripada Agensi Kelayakan Malaysia (MQA). IPTS tersebut hendaklah turut mendapat kebenaran pengambilan pelajar antarabangsa daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN);

c) Mendapat tawaran pengajian daripada Pusat Bahasa, Pusat Latihan/Kemahiran atau Pusat Bertauliah yang telah berdaftar serta mendapat kelulusan penubuhan dan pengendalian kursus daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) atau agensi berkaitan, serta mempunyai kebenaran pengambilan pelajar antarabangsa daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN);

d) Pemohon HENDAKLAH BERADA DI LUAR MALAYSIA semasa permohonan Pas Pelajar dikemukakan;

e) Permohonan Pas Pelajar boleh dikemukakan oleh institusi atau pelajar secara dalam talian melalui Sistem STARS yang dikendalikan oleh Education Malaysia Global Services (EMGS) melalui portal rasmi berikut: https://visa.educationmalaysia.gov.my;

f) Pihak EMGS akan melaksanakan semakan akademik serta mengeluarkan surat Approval to Study for International Student kepada pemohon yang memenuhi syarat yang ditetapkan;

g) Permohonan yang lengkap, teratur dan memenuhi syarat akademik akan dikemukakan oleh EMGS kepada Unit Pas Pelajar, Bahagian Visa, Pas dan Permit, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia bagi pertimbangan kelulusan eVAL, tertakluk kepada semakan dokumen perjalanan dan tapisan keselamatan;

h) Setelah memperoleh kelulusan e-VAL, pemohon daripada negara yang memerlukan visa hendaklah medapatkan Visa Kemasukan Sekali (Single Entry Visa) melalui https://malaysiavisa.imi.gov.my;

i) Maklumat keperluan visa boleh diperoleh melalui pautan https://www.imi.gov.my/index.php/perkhidmatan-utama/visa/keperluan-visa-mengikut-negara/;

j) Permohonan eVISA boleh dibuat dari seluruh dunia, kecuali dari Malaysia, Israel dan Korea Utara https://malaysiavisa.imi.gov.my/faq;

k) Setelah tiba di Malaysia, pelajar hendaklah hadir ke institusi yang dipohon dan menjalani pemeriksaan kesihatan selepas ketibaan (Post-Arrival Medical Examination) dalam tempoh tujuh (7) hari; dan

l) Setelah disahkan lulus pemeriksaan kesihatan dan memperoleh surat sokongan daripada pihak EMGS, pihak institusi boleh mengemukakan permohonan pengeluaran Pas Pelajar di Pejabat Imigresen yang mempunyai bidang kuasa mengikut alamat institusi.

1.2. Pelajar di Peringkat Sekolah

Kemudahan Pas Pelajar bagi kategori sekolah diberikan kepada pelajar warganegara asing yang memenuhi syarat berikut:

a) Mendapat tawaran belajar di Sekolah kerajaan atau bantuan kerajaan di bawah kawal selia Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM);

b) Mendapat tawaran belajar di Sekolah Antarabangsa, Sekolah Ekspatriat, Sekolah Rendah dan Menengah Akademik Swasta, Sekolah Rendah dan Menengah Agama Swasta atau Sekolah Menengah Persendirian Cina yang berdaftar dan diluluskan oleh Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM);

c) Bagi Sekolah Antarabangsa, pengambilan pelajar warganegara asing hendaklah mendapat kebenaran pengambilan pelajar antarabangsa daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN);

d) Permohonan boleh dikemukakan oleh wakil yang dilantik secara sah oleh sekolah, ibu bapa atau penjaga yang sah; dan

e) Permohonan baharu dan lanjutan Pas Pelajar boleh dikemukakan di Unit Pas Pelajar, Bahagian Visa, Pas dan Permit, Ibu Pejabat Jabatan Imigresen Malaysia, Bahagian Visa, Pas dan Permit Negeri atau Pejabat Imigresen Cawangan yang menawarkan perkhidmatan Pas Pelajar berdasarkan alamat sekolah pemohon.

2. Kemudahan

2.1. Tanggungan kepada Pemegang Pas Pelajar

Kemudahan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang sebagai tanggungan boleh dipertimbangkan kepada ahli keluarga pemegang Pas Pelajar yang mengikuti pengajian di Universiti Awam (UA) atau Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) di peringkat Ijazah Sarjana (Master) atau Ijazah Kedoktoran (PhD).

Kategori tanggungan yang layak dipertimbangkan adalah seperti berikut:

a) Suami atau isteri;

b) Anak kandung, anak tiri atau anak angkat yang berumur di bawah lapan belas (18) tahun;

c) Anak kurang upaya tanpa had umur yang disahkan oleh pengamal perubatan berdaftar;

d) Ibu dan bapa kandung; dan

e) Ibu dan bapa mertua.

Syarat-syarat

i. Kemudahan tanggungan hanya diberikan kepada pemegang Pas Pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat Ijazah Sarjana (Master) atau Ijazah Kedoktoran (PhD).

ii. Pemegang Pas Pelajar bagi kategori Pusat Bahasa, Pusat Latihan/Kemahiran dan Pusat Bertauliah TIDAK LAYAK membawa tanggungan.

iii. Tanggungan TIDAK DIBENARKAN bekerja, menjalankan perniagaan, menyampaikan syarahan politik, ucapan, ceramah atau melibatkan diri dalam sebarang aktiviti politik.

2.2. Pengiring kepada Pemegang Pas Pelajar

Kemudahan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang sebagai pengiring boleh dipertimbangkan kepada ahli keluarga pemegang Pas Pelajar yang mengikuti pengajian di peringkat sekolah.

Kategori pengiring yang layak dipertimbangkan adalah seperti berikut:

a) Ibu dan bapa kandung;

b) Penjaga yang sah;

c) Ibu dan bapa angkat;

d) Adik-beradik pelajar yang berumur di bawah tujuh tahun.

Syarat-syarat

i. Pengiring TIDAK DIBENARKAN bekerja, menjalankan perniagaan, menyampaikan syarahan politik, ucapan, ceramah, atau melibatkan diri dalam sebarang kegiatan politik.

2.3. Kebenaran Bekerja Secara Sambilan

Kemudahan bekerja secara sambilan diberikan kepada pemegang Pas Pelajar kategori Universiti Awam (UA) dan Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS) tertakluk kepada syarat-syarat berikut:

i. Kemudahan ini TIDAK LAYAK DIBERIKAN kepada pemegang Pas Pelajar Pusat Bahasa, Pusat Latihan/Kemahiran dan Pusat Bertauliah;

ii. Pemegang Pas Pelajar dibenarkan bekerja secara sambilan semasa cuti semester, cuti perayaan bagi tempoh tidak melebihi dua puluh (20) jam seminggu di premis yang dibenarkan seperti berikut:

a) Restoran

b) Stesen minyak

c) Pasar mini

d) Hotel

e) Kawasan universiti atau kolej;

iii. Pelajar tidak dibenarkan menjalankan tugas melibatkan kerja-kerja front desk selaras dengan dasar semasa penggajian pekerja asing;

iv. Pelajar juga tidak dibenarkan bertindak sebagai agen pengambilan atau perekrutan pelajar;

v. Permohonan yang lengkap boleh dikemukakan di Unit Pas Pelajar, Bahagian Visa, Pas dan Permit, Ibu Pejabat Imigresen Malaysia / Pejabat Imigresen Negeri dengan mengemukakan dokumen berikut:

a) Surat tawaran pekerjaan;

b) Surat sokongan daripada institusi yang mengesahkan permohonan kebenaran bekerja serta menyatakan jadual dan tempoh cuti semester;

c) Laporan prestasi akademik pelajar/pemohon;

d) Laporan kehadiran pelajar/pemohon;

e) Salinan pasport pemohon (muka surat biodata dan Pas Pelajar yang masih sah); dan

f) Salinan kelulusan yang diperoleh oleh majikan daripada Jabatan Tenaga Kerja selaras dengan peruntukan Seksyen 60K Akta Kerja 1955 [Akta 265] bagi tujuan penggajian pekerja asing.

vi. Kelulusan kebenaran bekerja adalah tertakluk kepada semakan dokumen dan pertimbangan Jabatan Imigresen Malaysia; dan

vii. Jabatan Imigresen Malaysia berhak membatalkan Pas Pelajar sekiranya pemegang pas didapati melanggar mana-mana syarat atau peraturan yang ditetapkan.

3. Bayaran

Perkhidmatan Kadar Bayaran
Pas Pelajar RM60.00
Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang bagi Tanggungan/Pengiring RM90.00
Visa Mengikut kadar yang ditetapkan berdasarkan kewarganegaraan pemohon Pautan Kadar Visa

4. Senarai Semak Permohonan

Dokumen yang diperlukan bagi permohonan Pas Pelajar dan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang adalah seperti berikut:

4.1. Pas Pelajar (Institusi Pengajian Tinggi, Pusat Bahasa, Pusat Latihan/Kemahiran dan Pusat Bertauliah)

A. Permohonan Baharu

Bil. Dokumen
1. Borang IMM.14
2. Surat Kelulusan Pengambilan Pelajar Antarabangsa daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang masih berkuat kuasa.
3. Surat Sokongan daripada Education Malaysia Global Services (EMGS) [Acceptance Declaration (AD)].
4. Surat tawaran pengajian daripada Universiti Awam (UA), Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS), Pusat Bahasa, Pusat Latihan/Kemahiran atau Pusat Bertauliah.
5. Gambar berukuran pasport (3.5 cm × 5.0 cm) berlatar belakang putih.
6. Salinan pasport (semua muka surat termasuk kulit hadapan) dengan tempoh sah laku sekurang-kurangnya lapan belas (18) bulan.
7. Salinan keputusan akademik dan transkrip.
8. Surat Kebenaran daripada institusi (Sarawak sahaja).
9. Surat iringan daripada institusi (Sarawak sahaja).
10. Pre-VAL Medical Report atau laporan pemeriksaan kesihatan dari negara asal (Sarawak sahaja).

Nota

  • Permohonan hendaklah dikemukakan melalui Sistem STARS, EMGS.
  • Salinan dokumen hendaklah jelas, lengkap dan mudah dibaca.
  • Hanya permohonan yang lengkap akan diproses.
  • Sekiranya dokumen tambahan diperlukan, dokumen tersebut hendaklah dikemukakan dalam tempoh empat belas (14) hari bekerja dari tarikh permohonan dipulangkan oleh EMGS.

B. Pengeluaran Pelekat Tahun Pertama Pas Pelajar

Bil. Dokumen
1. Pasport asal pemohon.
2. Surat permohonan pengeluaran pelekat daripada institusi.
3. Surat Sokongan Pengeluaran Pelekat daripada EMGS.
4. Borang Personal Bond yang telah dimatikan setem (permohonan baharu sahaja).
5. Polisi Insurans Kesihatan Malaysia yang diiktiraf di Malaysia dengan tempoh perlindungan sekurang-kurangnya dua belas (12) bulan dan masih berkuat kuasa sepanjang tempoh pengajian.
6. Resit pembayaran Pas dan Visa secara dalam talian (jika berkaitan).

Nota

  • Permohonan hendaklah dikemukakan melalui Sistem STARS, EMGS.
  • Salinan dokumen hendaklah jelas, lengkap dan mudah dibaca.
  • Semua dokumen hendaklah lengkap sebelum dikemukakan.

C. Permohonan Lanjutan Pas Pelajar

Bil. Dokumen
1. Borang IMM.14.
2. Salinan pasport (muka surat biodata dan Pas Pelajar terkini).
3. Salinan surat tawaran pengajian terdahulu.
4. Surat Sokongan Permohonan Pembaharuan Pas Pelajar daripada EMGS.
5. Surat sokongan daripada institusi.
6. Surat Sokongan Jabatan Pendidikan Tinggi (JPT) atau surat sokongan rayuan permohonan pembaharuan Pas Pelajar (jika berkaitan).
7. Keputusan akademik semester terdahulu.
8. Rekod kehadiran terkini.
9. Polisi Insurans Kesihatan Malaysia atau Polisi Insurans Antarabangsa yang diiktiraf di Malaysia dengan tempoh perlindungan sekurang-kurangnya dua belas (12) bulan dan masih berkuat kuasa sepanjang tempoh pengajian.

Nota

  • Permohonan hendaklah dikemukakan melalui Sistem STARS, EMGS.
  • Salinan dokumen hendaklah jelas, lengkap dan mudah dibaca.
  • Hanya permohonan yang lengkap akan diproses.

4.2. Pas Pelajar Kategori Sekolah

Permohonan Baharu dan Lanjutan

Pemohon hendaklah mengemukakan dokumen seperti berikut:

Bil. Dokumen
1. Borang IMM.14
2. Borang IMM.38
3. Surat Kelulusan Pengambilan Pelajar Antarabangsa daripada Kementerian Dalam Negeri (KDN) yang masih berkuat kuasa (Sekolah Antarabangsa sahaja).
4. Surat Kelulusan Pengambilan Pelajar Antarabangsa daripada Kerajaan Negeri Sabah atau Sarawak yang masih berkuat kuasa (jika berkaitan).
5. Salinan Perakuan Pendaftaran Institusi Pendidikan Swasta yang masih berkuat kuasa daripada Bahagian Pendidikan Swasta, Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
6. Surat Sokongan Permohonan Pas Pelajar Murid Antarabangsa daripada Bahagian Pendidikan Swasta, KPM (Semenanjung Malaysia dan Sabah) atau Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sarawak, mengikut kategori sekolah.
7. Surat Kelulusan Permohonan Pas Pelajar daripada Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) atau Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) bagi Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.
8. Surat pelantikan wakil daripada pihak sekolah (jika berkaitan).
9. Salinan pasport pemohon semua muka surat termasuk kulit hadapan pasport. Tempoh sah laku pasport MESTILAH lapan belas (18) bulan atau lebih. (Permohonan BAHARU)

Salinan pasport pemohon (muka surat biodata dan pas semasa) dengan tempoh sah laku sekurang-kurangnya lapan belas (18) bulan. (Permohonan LANJUTAN)
10. Gambar berukuran pasport (3.5 cm × 5.0 cm) berlatar belakang putih.
11. Polisi Insurans Kesihatan Malaysia atau Polisi Insurans Antarabangsa yang diiktiraf di Malaysia dengan tempoh perlindungan sekurang-kurangnya dua belas (12) bulan dan masih berkuat kuasa sepanjang tempoh pengajian.
12. Borang Personal Bond yang telah dimatikan setem (Permohonan Baharu sahaja).
13. Dokumen sokongan lain yang berkaitan (jika berkaitan), seperti berikut:

Dokumen Sokongan Berkaitan

  • Salinan Sijil Lahir Malaysia atau Sijil Lahir Luar Negara berserta terjemahan yang disahkan (jika berkaitan).
  • Salinan Perintah Mahkamah berkaitan hak penjagaan (jika berkaitan).
  • Salinan Sijil Nikah atau Daftar Perkahwinan ibu bapa (bagi tujuan pengesahan pertalian).
  • Salinan dokumen pengenalan atau pasport ibu dan bapa serta pas yang sah (jika berkaitan).
  • Salinan Sijil Perceraian, Sijil Pendaftaran Perceraian atau Sijil Kematian (jika berkaitan).
  • Salinan Sijil Pengangkatan atau Perintah Pengangkatan bagi anak angkat (jika berkaitan).

Nota

  • Permohonan hendaklah dikemukakan di Pejabat Imigresen yang mempunyai bidang kuasa mengikut alamat sekolah.
  • Semua dokumen asal hendaklah dibawa semasa mengemukakan permohonan bagi tujuan semakan.
  • Salinan dokumen hendaklah jelas, lengkap dan, jika berkaitan, disahkan oleh Notari Awam negara masing-masing.
  • Hanya permohonan yang lengkap akan diproses.

4.3. Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang bagi Tanggungan /Pengiring kepada Pas Pelajar

Permohonan Baharu dan Lanjutan

Pemohon hendaklah mengemukakan dokumen seperti berikut:

Bil. Dokumen
1. Borang IMM.12
2. Borang IMM.38
3. Surat pelantikan wakil daripada institusi atau sekolah (jika berkaitan).
4. Surat rasmi permohonan tanggungan/pengiring daripada institusi atau sekolah.
5. Surat pengesahan status Pas Pelajar (prinsipal) daripada institusi atau sekolah.
6. Salinan Pasport pemohon semua muka surat termasuk kulit hadapan pasport. Tempoh sah laku pasport MESTILAH lapan belas (18) bulan atau lebih. (Permohonan BAHARU)

Salinan pasport pemohon (muka surat biodata dan pas semasa) dengan tempoh sah laku sekurang-kurangnya lapan belas (18) bulan. (Permohonan LANJUTAN)
7. Salinan pasport prinsipal (pemegang Pas Pelajar) yang mengandungi muka surat biodata dan Pas Pelajar terkini.
8. Gambar berukuran pasport (3.5 cm × 5.0 cm) berlatar belakang putih.
9. Polisi Insurans Kesihatan Malaysia atau Polisi Insurans Antarabangsa yang diiktiraf di Malaysia dengan tempoh perlindungan sekurang-kurangnya dua belas (12) bulan dan masih berkuat kuasa.
10. Borang Personal Bond yang telah dimatikan setem (Permohonan Baharu sahaja).
11. Bukti kemampuan kewangan untuk menanggung perbelanjaan diri dan keluarga seperti penyata kewangan tiga (3) bulan terkini, surat tajaan biasiswa atau surat tajaan daripada kedutaan (jika berkaitan).
12. Dokumen sokongan lain yang berkaitan seperti di bawah.

Dokumen Sokongan Berkaitan

Pemohon hendaklah mengemukakan dokumen berkaitan bagi membuktikan hubungan dengan pemegang Pas Pelajar (prinsipal), seperti berikut:

  • Salinan Sijil Lahir Malaysia atau Sijil Lahir Luar Negara berserta terjemahan yang disahkan (jika berkaitan).
  • Salinan Perintah Mahkamah berkaitan hak penjagaan (jika berkaitan).
  • Salinan Sijil Nikah atau Daftar Perkahwinan bagi tujuan pengesahan pertalian.
  • Salinan Sijil Perceraian, Sijil Pendaftaran Perceraian atau Sijil Kematian (jika berkaitan).
  • Salinan Sijil Pengangkatan atau Perintah Pengangkatan bagi anak angkat (jika berkaitan).

Nota

  • Bagi tanggungan kepada pemegang Pas Pelajar kategori Institusi Pengajian Tinggi (IPT): Permohonan hendaklah dikemukakan melalui Sistem STARS, Education Malaysia Global Services (EMGS).
  • Bagi pengiring kepada pelajar kategori sekolah: Permohonan hendaklah dikemukakan di Pejabat Imigresen yang mempunyai bidang kuasa mengikut alamat sekolah.
  • Bagi semua permohonan:
    • Semua dokumen asal hendaklah dikemukakan semasa permohonan bagi tujuan semakan.
    • Salinan dokumen hendaklah jelas, lengkap dan mudah dibaca.
    • Hanya permohonan yang lengkap akan diproses.

4.4. Pengesahan Dokumen Bukti Pertalian

Dokumen bukti pertalian yang dikemukakan hendaklah disahkan seperti berikut:

  • Pejabat perwakilan / Kedutaan Asing di Malaysia sekiranya pemohon berada di Malaysia;
  • Bagi Negara yang tidak mempunyai Pejabat Perwakilan di Malaysia, dokumen hendaklah disahkan oleh Pejabat Perwakilan negara berkenaan yang berhampiran atau di negara asal;
  • Dokumen yang bukan dalam Bahasa Melayu atau Bahasa Inggeris hendaklah disertakan bersama terjemahan yang disahkan oleh:
    • Pejabat Perwakilan atau Kedutaan Asing;
    • Institut Terjemahan & Buku Malaysia (ITBM); atau
    • Mana-mana pusat penterjemahan yang berdaftar dengan Persatuan Penterjemah Malaysia (PPM).
  • Terjemahan yang dibuat di negara asal hendaklah disahkan oleh Pejabat Perwakilan / Kedutaan Asing di Malaysia;
  • Bagi warganegara Republik Rakyat China (PRC), dokumen bukti pertalian hendaklah disahkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di Republik Rakyat China (PRC).
  • Permohonan bagi anak angkat hendaklah disertakan dengan dokumen hak penjagaan (Custody Letter) dan pengesahan daripada kedutaan. Sekiranya permohonan dibuat di luar negara, dokumen tersebut hendaklah disahkan oleh Kementerian Luar Negeri negara berkenaan atau Pejabat Perwakilan Malaysia di luar negara.

Notis Penting

  • Jabatan Imigresen Malaysia berhak untuk meminta apa-apa dokumen sokongan atau maklumat tambahan yang difikirkan perlu bagi tujuan memproses permohonan.
  • Semua permohonan adalah tertakluk kepada peruntukan Akta Imigresen 1959/63 [Akta 155], Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, serta dasar, arahan dan garis panduan semasa yang berkuat kuasa dari semasa ke semasa.
  • Jabatan Imigresen Malaysia berhak meluluskan atau menolak mana-mana permohonan berdasarkan peruntukan undang-undang dan dasar yang sedang berkuat kuasa.
Skip to content