Rabu : Ogos 10, 2022 - 1.37 am

  1. Utama
  2. »
  3. Perkhidmatan Utama
  4. »
  5. Pekerja Asing

PEKERJA ASING

SYARAT-SYARAT PENGAMBILAN PEKERJA ASING

  • Bekerja dalam sektor yang dibenarkan iaitu Perkilangan, Pembinaan, Pertanian, Perladangan dan Perkhidmatan;
  • Permohonan pekerja asing oleh majikan/ syarikat adalah tertakluk kepada kelulusan kuota dari Pusat Kelulusan Setempat (OSC), Kementerian Dalam Negeri.
  • Berumur tidak kurang daripada 18 tahun dan tidak melebihi 45 tahun pada masa permohonan;
  • Disahkan sihat oleh pusat pemeriksaan kesihatan di negara sumber; Senarai pusat kesihatan
  • Bakal pekerja tidak termasuk dalam senarai individu asing yang dilarang masuk mengikut Seksyen 8(3) Akta Imigresen 1959/1963; dan
  • Pekerja asing mesti diambil dari negara sumber yang dibenarkan seperti berikut:
NEGARA JANTINA SEKTOR
PEREMPUAN LELAKI
THAILAND Semua sektor (Pembinaan, Perladangan, Pertanian, Perkhidmatan dan Perkilangan)
KEMBOJA
NEPAL
MYANMAR
LAOS
VIETNAM
FILIPINA
PAKISTAN
SRI LANKA
TURKMENISTAN
UZBEKISTAN
KAZAKSTAN
INDIA
  1. Pembinaan (high tension cable) ;
  2. Perkhidmatan (tukang emas, borong/ runcit, restoran-tukang masak, logam/ barang lusuh/ kitar semula, tekstil dan tukang gunting rambut);
  3. Pertanian; dan
  4. Perladangan
INDONESIA Pekerja lelaki Indonesia dibenarkan bekerja dalam semua sektor kecuali sektor perkilangan, manakala bagi wanita Indonesia boleh bekerja di semua sektor.
BANGLADESH Perladangan secara G2G

PROSEDUR PERMOHONAN

Fasa 1 (Sebelum Ketibaan)

  1. Majikan yang ingin mengambil pekerja asing perlu memohon Visa Dengan Rujukan (VDR) daripada Bahagian Pekerja Asing, Jabatan Imigresen Malaysia.
  2. Permohonan VDR boleh dikemukakan secara manual atau secara atas talian melalui aplikasi e-services.
  3. Permohonan VDR pekerja asing hendaklah dikemukakan berdasarkan senarai semak seperti berikut:
    • Dokumen Kelulusan ISC
    • Borang Permohonan VDR
    • Surat asal Kelulusan Bersyarat Kementerian Dalam Negeri (kelulusan kuota)
    • Resit asal bayaran levi
    • Borang IM.12 dan IM.38
    • Jaminan sekuriti dalam bentuk Wang cagaran/ jaminan insuran/ jaminan bank (jaminan insuran mempunyai sah laku sekurang-kurangnya 18 bulan yang dimatikan setem)
    • Salinan pasport pekerja
    • Gambar terkini pekerja bersaiz pasport
    • Laporan pemeriksaan kesihatan dari negara sumber (mempunyai sah laku 3 bulan dari tarikh dikeluarkan)
    • Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA)
    • Slip pengesahan Skim Perlindungan Insuran Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) – kecuali sektor perladangan
  4. Pekerja asing hendaklah berada di negara asal sementara menunggu kelulusan VDR daripada Jabatan Imigresen Malaysia.

Fasa 2 (Selepas ketibaan)

  • Pekerja asing hanya akan dibenarkan masuk ke negara ini melalui pintu-pintu masuk yang diwartakan dengan menggunakan VDR yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia dan visa kemasukan yang dikeluarkan oleh Pejabat Perwakilan Malaysia di negara asal.
  • Majikan hendaklah memastikan supaya pekerja asing diambil dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan.
  • Bagi tujuan pengeluaran Pas Lawatan (Kerja Sementara) – PL(KS), majikan diberi tempoh 30 hari untuk melaksanakan pemeriksaan kesihatan ke atas pekerja asing di pusat kesihatan yang berdaftar dengan FOMEMA.
  • PL(KS) hanya akan dikeluarkan selepas pekerja asing disahkan sihat oleh pusat kesihatan yang berdaftar dengan FOMEMA. Sekiranya pekerja asing didapati tidak sihat, majikan hendaklah menghantar pekerja asing pulang pada kadar segera dengan memohon Memo Periksa Keluar
  • Pengeluaran PL(KS) hendaklah dibuat di Pejabat Imigresen yang mengeluarkan kelulusan VDR pekerja asing tersebut.

LANJUTAN PLKS

  1. Tempoh sah laku PLKS pekerja asing adalah selama 12 bulan. Lanjutan tempoh sah laku PLKS boleh dipohon 3 bulan sebelum tarikh tamat sah laku PLKS.
  2. Majikan perlu memastikan supaya permohonan lanjutan dikemukakan sebelum tarikh tamat tempoh sah laku PLKS. Permohonan lanjutan PLKS selepas tempoh sah laku adalah tertakluk kepada pertimbangan kes Tinggal Lebih Masa. Kes Tinggal Lebih Masa yang tidak dapat dipertimbangkan akan dirujuk kepada Bahagian Penguatkuasa bagi tujuan penguatkuasaan.
  3. Permohonan lanjutan tempoh sah laku PLKS pekerja asing hendaklah dikemukakan berdasarkan senarai semak seperti berikut:
    • Pasport asal pekerja yang mempunyai sah laku melebihi 12 bulan
    • Surat permohonan lanjutan PLKS daripada majikan/ wakil syarikat
    • Dokumen pengenalan diri majikan/ wakil syarikat (SSM syarikat/ Borang 49/ Borang B&D/ Kad Wakil Syarikat/ Borang Wakil Syarikat yang telah diendoskan/ salinan kad pengenalan majikan)
    • Jaminan sekuriti dalam bentuk Jaminan bank/ jaminan insuran/ wang cagaran (tempoh sah laku jaminan bank/ jaminan insuran adalah sekurang-kurangnya 18 bulan)
    • Slip Skim Perlindungan Insuran Kesihatan Pekerja Asing (SPIKPA) – kecuali sektor perladangan
    • Slip pengesahan Skim Pampasan Pekerja Asing (SPPA)
    • Telah menjalani pemeriksaan kesihatan dan disahkan sihat oleh pusat kesihatan yang berdaftar dengan FOMEMA (lanjutan tahun ke-2 dan ke-3 sahaja)

TEMPOH PENGGAJIAN DAN PENGHANTARAN PULANG

  1. Tempoh penggajian pekerja asing yang dibenarkan untuk proses lanjutan PLKS adalah sehingga 10 tahun sahaja. Walau bagaimanapun, tempoh penggajian pekerja asing yang berdaftar di bawah program 6P adalah terhad kepada 3 tahun sahaja.
  2. Majikan hendaklah memastikan supaya pekerja asing yang tamat tempoh perkhidmatan dihantar pulang ke negara asal dengan memohon Memo Periksa Keluar. Wang cagaran/ jaminan bank hanya boleh dituntut sekiranya pekerja disahkan keluar secara teratur dengan Memo Periksa Keluar.

BAYARAN LANJUTAN PLKS

Bayaran yang perlu dijelaskan kepada Jabatan Imigresen bagi setiap permohonan lanjutan PLKS adalah berdasarkan kepada Jadual 1 dan Jadual 2 seperti berikut:

SEKTOR KADAR LEVI
(Semenanjung Malaysia)
KADAR LEVI
(Sabah / Sarawak)
PL(KS) PROSES VISA
Perkilangan RM1,850.00 RM1,010.00 RM60.00 RM125.00 Berdasarkan warganegara
Pembinaan RM1,850.00 RM1,010.00 RM60.00 RM125.00
Perladangan RM640.00 RM590.00 RM60.00 RM125.00
Pertanian RM640.00 RM410.00 RM60.00 RM125.00
Perkhidmatan RM1,850.00 RM1,490.00 RM60.00 RM125.00
Perkhidmatan (Pulau Peranginan) RM1,850.00 RM1,010.00 RM60.00 RM125.00

Jadual 1 : Kadar Levi, PL(KS) dan proses mengikut sektor pekerja asing

WARGANEGARA VISA (RM) BON JAMINAN (RM)
Indonesia 15 250
Bangladesh 20 500
Pakistan 20 750
Myanmar 19.5 750
India 50 750
Filipina 36 1,000.00
Thailand Gratis 250
Kemboja 20 250
Nepal 20 750
Vietnam 13 1,500.00
Sri Lanka 15 750

Jadual 2 : Kadar Visa dan bayaran sita pekerja asing mengikut warganegara

  1. Bayaran boleh dibuat dalam bentuk tunai dan bank draf atas nama “Ketua Pengarah Imigresen Malaysia” dan bagi negeri-negeri atas nama “Pengarah Imigresen Negeri” berkenaan. (Contoh : Pengarah Imigresen Negeri Selangor)
  2. Pekerja asing yang memegang PL(KS) adalah tertakluk kepada syarat-syarat seperti berikut:
    • Pekerja tidak layak membawa masuk keluarga untuk tinggal di negara ini;
    • Pekerja asing tidak dibenarkan bekerja sebagai barisan hadapan (frontliner)
    • Pekerja tidak dibenarkan bertukar majikan atau bertukar sektor pekerjaan;
    • Pekerja tidak dibenarkan berkahwin dengan warganagera Malaysia atau warganegara asing sepanjang memegang PL(KS)

PEKERJA ASING MELARIKAN DIRI

  1. Pekerja asing dikategorikan lari daripada majikan dalam keadaan berikut:
    • Pekerja meninggalkan tempat kerja tanpa memaklumkan kepada majikan dengan tujuan melarikan diri; dan
    • Pekerja tidak kembali ke tempat bekerja pada tarikh yang dipersetujui setelah balik ke negara asal
  2.  Majikan perlu hadir ke Pejabat Imigresen untuk melaporkan pekerja lari dengan mengemukakan dokumen-dokumen seperti berikut:
    • Dokumen pengenalan diri majikan/ wakil syarikat
    • Salinan pasport pekerja
    • Borang laporan pekerja asing lari
    • Report polis
    • Pekerja asing yang dilaporkan lari akan disenarai hitamkan
  3. Jabatan Imigresen akan menyita wang cagaran/ jaminan bank/ jaminan insuran berdasarkan kadar mengikut warganegara pekerja asing.

KAD AKUAN DIRI PEKERJA ASING BERWARNA MENGIKUT SEKTOR PEKERJAAN (i-KAD) 

  1. Pekerja asing yang dikeluarkan PL(KS) turut dibekalkan dengan i-Kad. Tempoh sah laku i-Kad adalah berdasarkan tempoh sah laku PL(KS).
  2. Pengeluaran i-Kad pada setiap kali pengeluaran PL(KS) tidak melibatkan sebarang kos tambahan kepada majikan. i-Kad yang telah dicetak akan dihantar terus ke alamat majikan/ syarikat melalui kontraktor yang dilantik.
  3. Pengeluaran i-Kad mengikut 6 sektor pekerjaan yang dibenarkan di Negara ini dan warna adalah seperti berikut:
SEKTOR WARNA
Pertanian Hijau
Perladangan Jingga
Pembinaan Kelabu
Perkilangan Merah hati
Perkhidmatan Kuning
Pembantu Rumah Asing Coklat
Skip to content