PERMOHONAN PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)

NEGARA SUMBER YANG DIBENARKAN IALAH:
- Indonesia
- Thailand
- Kemboja (Telah dibekukan bermula Januari 2012)
- Filipina
- Sri Lanka
- India
- Vietnam
- Laos

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)

BAKAL PRA MESTILAH:
•    Jantina : Perempuan sahaja
•    Umur   : tidak kurang daripada 21 tahun dan tidak melebihi 45 tahun     pada tahun permohonan
•    Disahkan sihat oleh pusat-pusat perubatan yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan di negara asal PRA.
•    Berada di negara asal semasa permohonan.
•    Masuk/datang ke Malaysia menggunakan Visa Dengan Rujukan (VDR) yang diambil di pejabat perwakilan Malaysia di negara asal PRA

SYARAT-SYARAT KELAYAKAN MAJIKAN

•    Majikan terdiri daripada suami dan isteri dan mempunyai:
i.    Anak berumur bawah 15 tahun ATAU
ii.    Ibu bapa yang sakit/uzur.
•    Majikan mestilah bekerja dan hanya satu (1) Pembantu Rumah Asing (PRA) yang layak dipohon untuk satu keluarga.
•    Berikut merupakan kelayakan gaji majikan untuk mengambil PRA mengikut negara sumber dan bayaran sita :

BIL

NEGARA SUMBER

JUMLAH PENDAPATAN MAJIKAN

BAYARAN SITA (PERSONAL BOND)

1

Indonesia

RM 3,000.00

RM 250.00

2

Filipina

RM 5,000.00

RM 750.00

3

Sri Lanka

RM 5,000.00

RM 750.00

4

Thailand

RM 3,000.00

RM 250.00

5

Kemboja

RM 3,000.00

RM 250.00

6

India

RM 5,000.00

RM 750.00

7

Laos

RM 3,000.00

RM 1,500.00

8

Vietnam

RM 3,000.00

RM 1,500.00

•    Majikan TIDAK LAYAK memohon jika diisytiharkan muflis oleh pihak berkuasa atau berada di dalam senarai syak/ senarai hitam Jabatan Imigresen Malaysia
•    Bagi permohonan PRA kedua dan seterusnya, majikan mestilah:
i.    Mempunyai alasan yang kukuh (disertakan bukti dokumen) ; DAN
ii.   Mempunyai pendapatan bersih sebagaimana jadual berikut :

BIL

PERMOHONAN

PENDAPATAN SEBULAN

1.

Pembantu Rumah Asing (PRA) Kedua

Melebihi RM10,000.00

2.

Pembantu Rumah Asing (PRA) Ketiga

Melebihi RM15,000.00

3.

Pembantu Rumah Asing (PRA) Keempat dan selebihnya

Kelulusan khas Ketua Pengarah Imigresen

•    Majikan beragama Islam dibenarkan menggaji PRA beragama Islam sahaja.

DOKUMEN YANG DIPERLUKAN PERMOHONAN PEMBANTU RUMAH ASING

Dokumen-dokumen yang diperlukan untuk permohonan Pembantu Rumah Asing (PRA):
1.    Borang permohonan PRA
2.    Borang IM 12. (Permohonan PLKS)
3.    Borang Personal Bond yang dimatikan setem RM10.00
4.    Perjanjian Pekerjaan di antara majikan dan PRA yang dimatikan setem RM10.00 (1 set asal dan 1 set salinan)
5.    Salinan kad pengenalan majikan (suami dan isteri)
6.    Salinan pasport PRA
7.    Laporan perubatan bakal PRA dari negara asal oleh panel yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan Malaysia
8.    Bukti pendapatan tetap suami isteri:
9.    Penyata KWSP dan slip gaji (3 bulan terkini) ATAU
10.  Borang e-BE/ Penyata LHDN yang disah terima beserta slip bayaran
11.  Sijil perkahwinan (bagi permohonan kali pertama sahaja)

PROSES PERMOHONAN PEMBANTU RUMAH ASING (PRA) DI JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

CARTA ALIR DAN PROSES PERMOHONAN PRA (INDONESIA SAHAJA)

PROSIDUR KEMASUKAN PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)

FASA 1 : PERMOHONAN DI JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA

1.    Majikan perlu mengisi borang yang diperlukan untuk memohon PRA (boleh dimuat turun pada kolum ” Dokumen Yang Diperlukan Permohonan Pembantu Rumah Asing(PRA)”  dan menyediakan segala dokumen sokongan yang diperlukan dengan lengkap.
2.    Permohonan bagi PRA boleh dibuat di semua Pejabat Imigresen Negeri mengikut alamat majikan.
3.   Permohonan pengambilan PRA boleh dikemukakan melalui 2 cara iaitu :
i.    Permohonan dikemukakan oleh Majikan sendiri (Permohonan Individu)

(Sila rujuk Carta Alir dan Proses Permohonan PRA (Indonesia sahaja) atau layari Laman Web Rasmi Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia bagi permohonan PRA Indonesia)


ii.    Permohonan dikemukakan Agensi Pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia di Pejabat Imigresen Negeri mengikut alamat majikan.
4.    Semasa penyerahan, borang permohonan mestilah lengkap dan  sebarang permohonan yang tidak mengemukakan dokumen yang lengkap/tidak layak akan ditolak daripada diproses
5.    Majikan/agensi perlu membawa dokumen asal untuk tujuan pengesahan.

FASA 2 :  PENGELUARAN VISA DENGAN RUJUKAN (VDR) DI JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA DAN SEBELUM KEMASUKAN PRA KE MALAYSIA

1.    Setelah permohonan untuk mendapatkan PRA diluluskan oleh Jabatan Imigresen Malaysia, majikan perlu membuat bayaran levi, visa, proses dan Pas Lawatan Kerja Sementara (PL(KS)) sebelum mendapatkan Visa Dengan Rujukan (VDR) akan dikeluarkan bagi membolehkan PRA memasuki Malaysia.
2.    Sila rujuk kolum “Bayaran Untuk Permohonan PRA” untuk jumlah bayaran.
3.    Setelah bayaran dibuat, VDR akan dikeluarkan dalam 3 salinan kepada pihak majikan untuk diberikan kepada :
i.    Pejabat Kedutaan negara asal PRA di Malaysia
ii.    Pejabat Perwakilan Malaysia di negara asal PRA di mana visa akan dipohon.
iii.    Salinan untuk simpanan majikan
iv.    Satu salinan tambahan untuk permohonan melalui agensi
4.    Setelah mendapat VDR, PRA perlu mendapat visa di Pejabat Perwakilan Malaysia di negara asal PRA berkenaan SEBELUM masuk ke Malaysia.
5.    Setelah mendapat visa, PRA boleh masuk ke Malaysia melalui mana-mana pintu masuk yang dibenarkan.


FASA 3 :  SELEPAS KETIBAAN PRA DI MALAYSIA


1.    Majikan/ agensi pekerjaan dikehendaki menunggu dan menjemput PRA berkenaan di pintu masuk berkenaan.
2.    Pegawai Imigresen di pintu-pintu masuk yang dibenarkan akan memberikan Pas Khas untuk tempoh 30 hari bagi majikan melaporkan kehadiran PRA berkenaan di Pejabat Imigresen yang meluluskan VDR berkenaan.
3.    Dalam tempoh 30 hari daripada tarikh ketibaan PRA, majikan/agensi perlulah memastikan PRA menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik-klinik yang berdaftar dengan FOMEMA Sdn. Bhd. dalam kadar segera.


FASA 4 : ENDOSEMEN PAS LAWATAN KERJA SEMENTARA (PL(KS))  BAGI PRA DI JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA SETELAH PEMERIKSAAN KESIHATAN PRA


4.1      PRA DISAHKAN SIHAT (FIT) OLEH KLINIK YANG BERDAFTAR DENGAN FOMEMA
1.            Setelah mendapat keputusan pemeriksaan kesihatan, majikan perlu  membawa passport PRA serta Laporan Pemeriksaan Kesihatan FOMEMA PRA untuk mendapatkan endorsemen Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) di Pejabat Imigresen yang mengeluarkan VDR dalam tempoh 30 hari daripada tarikh ketibaan PRA di Malaysia.
2.             Pas Lawatan Kerja Sementara (PL(KS)) adalah pas kerja yang akan diluluskan untuk tempoh 12 bulan bagi PRA disahkan sihat oleh klinik yang berdaftar dengan FOMEMA Sdn. Bhd.
3.             Tempoh PL(KS) akan bermula pada tarikh kemasukan PRA ke Malaysia dan berkenaan dibenarkan bekerja sehingga tarikh akhir yang tercatat pada pelekat PL(KS) berkenaan.
4.            PRA hanya dibenarkan bekerja dengan majikan dan tempat kediaman sebagaimana yang tercatat di dalam PL(KS) berkenaan.
4.2      PRA DISAHKAN TIDAK SIHAT (UN-FIT) DAN GAGAL PEMERIKSAAN  KESIHATAN OLEH KLINIK YANG BERDAFTAR DENGAN FOMEMA
1.    Sekiranya PRA telah disahkan tidak sihat dan gagal pemeriksaan kesihatan oleh klinik yang berdaftar dengan FOMEMA, PRA tidak dibenarkan untuk bekerja di Malaysia dan perlu dihantar balik ke negara asal.
2.    Majikan perlu hadir ke Pejabat Imigresen yang mengeluarkan VDR dalam tempoh 30 hari daripada tarikh ketibaan PRA di Malaysia untuk memaklumkan kepada pihak Imigresen dan mendapatkan Memo Periksa Keluar (Check Out Memo) untuk menguruskan penghantaran pulang PRA ke negara asal.
3.    Majikan perlu membawa pasport PRA dan tiket balik ke negara asal untuk membuat permohonan Memo Periksa Keluar (Check Out Memo).

PROSIDUR LANJUTAN PAS LAWATAN (KERJA SEMENTARA) BAGI PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)

1.    Permohonan lanjutan PL(KS) bagi PRA boleh dibuat di mana-mana Pejabat Imigresen yang paling hampir dengan alamat majikan sebelum tamat tempoh PL(KS).
2.    Semua urusan lanjutan PL(KS) PRA hendaklah dikemukakan sendiri oleh majikan atau agensi pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia.
3.    PRA masih perlu menjalani pemeriksaan kesihatan di klinik berdaftar dengan FOMEMA Sdn. Bhd. serta disahkan sihat sebelum permohonan lanjutan PL(KS) dikemukakan ke Jabatan Imigresen Malaysia bagi tahun KEDUA dan KETIGA.
4.    Bayaran untuk lanjutan merangkumi bayaran levi, bayaran visa mengikut jenis dan warganegara, bayaran proses dan bayaran untuk PL(KS). Sila rujuk kolum “Bayaran Untuk Permohonan PRA” untuk jumlah bayaran.
5.    Untuk tujuan lanjutan Pas Lawatan (Kerja Sementara), majikan perlu memastikan permohonan perlanjutan dibuat dalam tempoh 3 bulan SEBELUM tarikh tamat Pas Lawatan Kerja Sementara (PL(KS)).
6.    Semasa permohonan lanjutan PL(KS) PRA, majikan perlu memastikan tempoh sah laku pasport PRA adalah TIDAK KURANG daripada 12 bulan.
PROSIDUR PENAMATAN PAS LAWATAN(KERJA SEMENTARA BAGI PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)

1.    Majikan perlu hadir ke Jabatan Imigresen Malaysia untuk mendapatkan Memo Periksa Keluar (Check-Out Memo) iaitu dokumen yang diperlukan sebagai permohonan keberangkatan pulang PRA ke negara asal di atas seperti :
i.    Majikan tidak lagi memerlukan khidmat PRA; atau
ii.    PRA tidak mahu lagi bekerja dengan majikan kerana hendak balik ke negara asal;  atau
iii.    PRA gagal pemeriksaan kesihatan (unfit)
2.    Dokumen yang diperlukan untuk proses penghantaran pulang PRA ke negara asal  :
i.    Borang permohonan Memo Periksa Keluar
ii.    Pasport asal PRA
iii.    Tiket pulang ke negara asal.
3.    Majikan hendaklah memastikan PRA pulang pada tarikh yang ditetapkan dalam Memo Periksa Keluar (Check-Out Memo)  melalui Pintu Keluar yang dipohon.
4.    Sekiranya majikan tidak memohon Memo Periksa Keluar, PRA tersebut masih dianggap bekerja dengan majikan dan majikan masih bertanggungjawab terhadap PRA berkenaan.

PROSIDUR PENGGANTIAN BAGI PEMBANTU RUMAH ASING (PRA) BARU BAGI KES PRA TIDAK MASUK / GAGAL PEMERIKSAAN KESIHATAN

•    Majikan boleh mengemukakan permohonan mendapatkan gantian Pembantu Rumah Asing PRA yang telah diluluskan Visa Dengan Rujukan (VDR) dalam dua keadaan :
i.    PRA telah masuk ke negara ini tetapi disahkan tidak sihat setelah pemeriksaan kesihatan di klinik yang berdaftar dengan FOMEMA Sdn. Bhd (unfit)
ii.    PRA tidak masuk ke negara ini setelah kelulusan VDR dikeluarkan.
•    Penggantian PRA perlulah daripada negara sumber yang sama dengan PRA yang telah diluluskan sebelum ini.
•    Permohonan mendapatkan gantian PRA bagi mana-mana kes seperti yang telah dinyatakan perlulah dikemukakan dalam tempoh setahun daripada tarikh kelulusan.
•    Berikut merupakan dokumen yang perlu dikemukakan bagi permohonan penggantian PRA :        
a.   PRA yang telah gagal pemeriksaan kesihatan (unfit)
i.    Surat permohonan majikan
ii.   Surat kelulusan Visa Dengan Rujukan(VDR)  
iii.   Memo Periksa Keluar
iv.   Resit bayaran yang asal
b.   PRA tidak masuk ke Malaysia
i.    Surat permohonan majikan
ii.   Surat kelulusan Visa Dengan Rujukan (VDR)
iii.  Resit bayaran yang asal
iv.   Surat pengesahan pembatalan visa dari pejabat perwakilan Malaysia di negara asal PRA (jika ada)
•    Sekiranya tiada gantian dikemukakan bagi PRA yang tidak masuk atau tidak sihat, majikan boleh mengemukakan tuntutan bayaran balik levi di Bahagian Kewangan di pejabat imigresen di mana resit bayaran dikeluarkan.


PROSIDUR TUKAR MAJIKAN BAGI PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)


•    PRA dibenarkan bertukar majikan sekiranya PRA tidak sesuai bekerja dengan majikan dalam TAHUN PERTAMA PL(KS) PRA sahaja.
•    Majikan lama perlu memberi persetujuan bertulis bagi membolehkan PRA bertukar ke majikan baru yang layak menggaji PRA dengan mengisi Lampiran D.
•    Sekiranya majikan dan pasangannya bercerai, Jabatan Imigresen Malaysia berhak memindahkan nama majikan PRA berkenaan kepada isteri atau majikan baru yang lebih berkelayakan.
•    Sekiranya majikan atau pasangannya meninggal dunia, maka majikan atau pasangan atau warisnya diminta melaporkan kepada Jabatan untuk tujuan pengesahan status majikan baru PRA berkenaan.


PROSIDUR LAPORAN PEMBANTU RUMAH ASING (PRA) MELARIKAN DIRI DARIPADA MAJIKAN


•    PRA boleh dikategorikan sebagai lari daripada majikan dalam keadaan berikut :
i.    PRA meninggalkan rumah majikan dengan membawa semua barangan peribadi PRA tanpa memaklumkan kepada majikan dengan tujuan melarikan diri.
ii.    PRA tidak kembali ke rumah majikan pada tarikh yang dipersetujui setelah balik ke negara asal.
•    Majikan perlu hadir ke Pejabat Imigresen untuk melaporkan PRA lari daripada majikan.
•    Majikan perlu mengemukakan dokumen-dokumen berikut bagi membatalkan PL(KS) PRA bagi kes lari:
1.    Surat permohonan membatalkan Pas Lawatan (Kerja Sementara) PL(KS) Pembantu Rumah Asing (PRA) yang melarikan diri.
2.    Salinan kad pengenalan majikan
3.    Pasport asal/salinan pasport PRA yang melarikan diri
4.    Borang Laporan Pekerja Asing Melarikan Diri dari Majikan yang dikeluarkan oleh Jabatan Imigresen Malaysia
5.    Salinan laporan polis yang disahkan.
•    PRA yang melarikan diri daripada majikan akan disenaraihitamkan.
•    Majikan dikehendaki menjelaskan wang jaminan/sita pada kadar personal bond mengikut warganegara yang telah ditandatangani semasa permohonan.
•    Majikan masih lagi bertanggungjawab terhadap PRA seandainya majikan gagal untuk membuat laporan bagi PRA yang telah melarikan diri daripada majikan.
•    Majikan tidak boleh membuat tuntutan balik wang jaminan seandainya majikan ingin membuat pembatalan laporan lari bagi kes PRA lari yang telah kembali bekerja dengan majikan yang sama semula.

BAYARAN BAGI PERMOHONAN PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)

•    Setelah permohonan diluluskan , majikan perlu menyediakan bayaran secukupnya untuk bayaran levi, PL(KS), visa dan bayaran proses.
•    Bayaran perlu dibuat di pejabat yang meluluskan permohonan.
•    Cara bayaran adalah seperti berikut :
i.    Tunai
ii.    Bank Draft
iii.   Kiriman Wang
iv.   Wang Pos
(Personal Cheque adalah tidak dibenarkan)

•    Bagi bayaran yang dibuat secara bank draf, kiriman wang dan wang pos, bagi ruangan ”Bayaran kepada.............................” ruangan kosong perlulah ditulis seperti berikut :
i.     ”Ketua Pengarah Imigresen Malaysia” jika permohonan diluluskan oleh Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya;  atau
ii.    ”Pengarah Imigresen Negeri .....................................” jika permohonan diluluskan oleh Jabatan Imigresen Negeri.
Contoh :
”Pengarah Imigresen Negeri Johor” atau ”Pengarah Imigresen Kuala Lumpur”
•    Majikan perlu memastikan bahawa nama dan alamat majikan hendaklah ditulis di belakang bank draf, kiriman wang dan wang pos berkenaan.
•    Berikut merupakan jenis dan jumlah bayaran yang perlu dibayar oleh majikan bagi permohonan pembantu rumah asing (PRA) :

BIL

 

PERMOHONAN

 

LEVI (RM)

 

PL(KS) (RM)

 

PROSES (RM)

VISA

 

JUMLAH

NEGARA SUMBER

JENIS VISA (SEV/MEV)

BAYARAN

1.

PEMBANTU RUMAH ASING (PRA) PERTAMA

410

60

125

Indonesia

SEV/MEV

15

610.00

Filipina

SEV/MEV

36

631.00

Sri Lanka

SEV

50

645.00

MEV

100

695.00

Thailand

SEV/MEV

GRATIS

595.00

Kemboja

SEV/MEV

20

615.00

India

SEV/MEV

50

645.00

Laos

SEV/MEV

20

615.00

Vietnam

SEV/MEV

13

608.00

2.

PEMBANTU RUMAH ASING (PRA) KEDUA DAN SETERUSNYA

590

60

125

Indonesia

SEV/MEV

15

790.00

Filipina

SEV/MEV

36

811.00

Sri Lanka

SEV

50

825.00

MEV

100

875.00

Thailand

SEV/MEV

GRATIS

775.00

Kemboja

SEV/MEV

20

795.00

India

SEV/MEV

50

825.00

Laos

SEV/MEV

20

795.00

Vietnam

SEV/MEV

13

788.00

Nota :
SEV  : Single Entry Visa
MEV : Multiple Entry Visa

•    Berikut merupakan bayaran yang perlu dibayar oleh majikan selepas permohonan diluluskan :
i.    Tahun Pertama :
BAYARAN = (Levi) + (PL(KS)) + (Proses)
Contoh bayaran tahun pertama bagi PRA warganegara Indonesia :
    (Levi=RM410)+(PL(KS)=RM60)+( Proses=RM125) = RM595.00
ii.    Lanjutan Bagi Tahun Kedua dan selanjutnya :
BAYARAN = (Levi) + (PL(KS)) + (Visa mengikut negara asal PRA) + (Proses)
Contoh bayaran lanjutan tahun kedua bagi PRA warganegara Indonesia :
    (Levi=RM410)+(PL(KS)=RM60)+ (Visa=RM15)+( Proses=RM125) = RM610.00

    Nota :    i. Levi akan berbeza mengikut jumlah PRA sedia ada yang aktif atas majikan.
        ii.Jumlah bayaran lanjutan bagi tahun berikutnya yang perlu dibayar juga
    boleh dirujuk pada ruangan atas di sebelah kanan pelekat PL(KS) tahun
    semasa dalam pasport PRA.

PUSAT PERUBATAN DI NEGARA SUMBER YANG DILANTIK OLEH KEMENTERIAN KESIHATAN

Berikut merupakan senarai pusat perubatan mengikut negara sumber yang dilantik oleh Kementerian Kesihatan :
a. Indonesia
b. Thailand
c. Kemboja
d. Filipina
e. India
f. Vietnam
g. Laos
h. Sri Lanka

TANGGUNGJAWAB MAJIKAN DALAM MENGGAJI PEMBANTU RUMAH ASING (PRA)

1.    Majikan hendaklah memastikan PRA ditugaskan untuk membuat kerja-kerja rumah sahaja (tidak termasuk cuci kereta).
2.    Majikan wajib menyediakan kemudahan bilik/tempat tinggal yang sesuai kepada PRA  lengkap dengan kemudahan asas, makanan yang berkhasiat, rehat secukupnya termasuk waktu tidur.
3.    Majikan bukan Islam yang menggaji PRA yang beragama Islam mestilah menghormati sensitiviti agama PRA dengan membenarkan:
i.    Melakukan ibadah seperti sembahyang 5 waktu
ii.   Puasa bulan Ramadhan
iii.  Tidak disuruh melakukan kerja-kerja rumah yang bertentangan dengan agama Islam.
4.    Majikan perlu mengambil maklum bahawa perkara berikut adalah TIDAK DIBENARKAN bagi PRA semasa memegang PL(KS). :
i.    PRA tidak dibenarkan berkahwin dengan rakyat tempatan di Malaysia semasa memegang PL(KS).
ii.    PRA tidak dibenarkan membuat permohonan Permit Masuk semasa memegang PL(KS).
5.    Memastikan PRA tidak bertukar pekerjaan/sektor atau bertukar majikan tanpa kebenaran dari Jabatan Imigresen Malaysia.
6.    Lanjutan tempoh PL(KS) hendaklah dikemukakan kepada mana-mana Pejabat Imigresen tiga (3) bulan sebelum tarikh tamat PL(KS) .
7.    Untuk tujuan lanjutan PL(KS) atau Memo Periksa Keluar, majikan bertanggungjawab:
i.    Menyimpan rekod pembayaran gaji PRA dan menunjukkan kepada pihak Jabatan apabila diminta.
ii.    Gaji PRA hendaklah dijelaskan selewat-lewatnya pada minggu terakhir setiap bulan.
8.    Rawatan perubatan PRA semasa dalam tempoh PL(KS) adalah di bawah tanggungjawab majikan.
9.    Majikan bertanggungjawab melaporkan kepada Jabatan Imigresen Malaysia sekiranya PRA:
i.    Meninggal dunia
ii.    Hilang
iii.    Melarikan diri dari tempat sepatutnya dia bekerja.
10.    Majikan atau agensi pekerjaan tidak dibenarkan memukul atau apa-apa perbuatan yang mendatangkan kecederaan kepada PRA.
11.    Majikan hendaklah mendapatkan kelulusan dari jabatan bagi PRA yang memohon berhenti atau diberhentikan atau tamat tempoh pas dengan mendapatkan Memo Periksa Keluar dari Jabatan bagi tujuan penghantaran pulang.
12.    Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai hak membatalkan kelulusan pas yang dikeluarkan.
13.    Jabatan Imigresen Malaysia mempunyai kuasa memindahkan PRA yang dianiaya oleh majikan asal kepada majikan baru yang layak atas dasar kemanusiaan walaupun tanpa persetujuan majikan asal.
14.    Majikan yang ingin membawa PRA bekerja di luar negara dikehendaki memaklumkan kepada pejabat perwakilan negara asal PRA  berkenaan di Malaysia.
15.    Majikan yang telah diberi kelulusan PRA tetapi gagal mematuhi syarat-syarat di atas akan disenaraihitamkan daripada mendapat kemudahan PRA.

AGENSI PEKERJAAN YANG BERDAFTAR DENGAN JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA UNTUK MENGURUSKAN PEMBANTU RUMAH ASING

•    Majikan perlu memastikan bahawa hanya agensi pekerjaan yang berdaftar dengan Jabatan Imigresen Malaysia sahaja yang dibenarkan untuk menguruskan PRA bagi pihak majikan di jabatan ini.
•    Berikut merupakan senarai Agensi Pekerjaan yang berdaftar dengan jabatan Imigresen Malaysia untuk menguruskan PRA :

Agensi Pekerjaan Mengikut Negeri