Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) telah menyerbu sebuah bangunan yang menjadi penempatan warga asing di Pudu, Kuala Lumpur dan berjaya menahan seramai 72 orang warga asing. Operasi yang dijalankan secara bersepadu bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bermula pada jam 5.00 petang 3 Julai 2021 ini merupakan operasi penguatkuasaan dan pematuhan di bawah Op Patuh yang dilancarkan oleh Menteri Dalam Negeri.
Pemeriksaan di lokasi operasi mendapati kawasan yang dihuni oleh majoriti warga asing ini bukan sahaja tidak mematuhi SOP PKP malahan ianya dalam keadaan yang sangat kotor dan tidak teratur. Selain itu, kemudahan awam seperti lif, lampu tangga dan koridor tidak berfungsi dengan sempurna serta kawasan dalam bangunan yang dipenuhi sampah dan berbau busuk.
Hasil pemeriksaan di premis tersebut, pegawai operasi telah memeriksa seramai 245 orang individu dan berjaya menahan seramai 72 orang warga asing yang daripada pelbagai warganegara yang berumur diantara 25 hingga 50 tahun. Warga asing yang ditahan terdiri daripada 43 orang lelaki dan 29 orang wanita.
Semasa pemeriksaan dijalankan terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan menyorok di ruang-ruang dinding yang telah diubah suai. Walau bagaimanapun, semua cubaan ini berjaya dikesan dan digagalkan oleh pegawai operasi.
Selain itu, pegawai operasi terpaksa memecahkan pintu kerana kebanyakan rumah yang diperiksa penghuninya tidak memberikan kerjasama dan menyorok di dalam rumah dengan mematikan lampu.
Lokasi ini juga dipercayai menjadi sarang pelacuran yang melibatkan wanita warga asing dan pernah beberapa kali diserbu oleh JIM sebelum ini.
Antara kesalahan Imigresen yang dikenalpasti ialah tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah, menyalahgunakan Pas dan tinggal lebih masa.
Kesemua tahanan akan dibawa menjalani ujian saringan Covid-19 sebelum ditempatkan di Depot Imigresen Bukit Jalil, Kuala Lumpur untuk siasatan di atas pelbagai kesalahan mengikut Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
JIM akan terus melaksanakan operasi penguatkuasaan bersama agensi yang lain di bawah Op Patuh yang di terajui oleh Kementerian Dalam Negeri (KDN). Operasi penguatkuasaan yang dijalankan bukan sahaja untuk mengesan dan menangkap pendatang haram dan individu yang bersekongkol dengan mereka, malahan operasi-operasi ini bertujuan untuk mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan masyarakat.