Sekapur Sireh

Bismillahirrahmannirrahim.
Assalamu’alaikum Warahmatullahi Wabarakatuh dan Salam Sejahtera.
Setinggi-tinggi kesyukuran dipanjatkan ke hadrat Allah SWT kerana dengan izin dan limpah kurnia-Nya, kita terus diberi ruang dan kekuatan untuk melangkah bersama dalam memupuk nilai kebersamaan serta kecekapan perkhidmatan di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM).

 
Sebagai wadah AKRAB (Rakan Pembimbing Perkhidmatan Awam), peranan kita bukan sekadar memenuhi tuntutan tugas, malahan menjadi tiang sokongan emosi, pendorong semangat, serta rakan pendengar yang sedia menghulurkan tangan kepada rakan sejawat. Dalam mendepani cabaran penugasan Imigresen yang kian kompleks dan dinamik, keakraban serta keprihatinan sesama warga JIM adalah benteng kekuatan kita.

 
Menerusi iltizam ini, AKRAB JIM terus komited untuk menggapai di langit, mengakar ke bumi—iaitu sentiasa bercita-cita tinggi meletakkan mutu perkhidmatan dan tadbir urus Imigresen di mercu kejayaan, namun pada masa yang sama kekal merendah diri, berteraskan jati diri, serta nilai kemanusiaan yang kukuh di sanubari.

 
Saya mengambil kesempatan ini untuk merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada seluruh ahli jawatankuasa serta Pembimbing AKRAB JIM atas keikhlasan, dedikasi, dan usaha murni yang dicurahkan tanpa jemu. Semoga ikhtiar ini terus menjadi pemangkin kepada persekitaran kerja yang kondusif, sejahtera, dan berprestasi tinggi.

 
Akhir kata, marilah kita terus membajak semangat kebersamaan ini, mengukuhkan ukhuwah, dan melangkah waja demi kecemerlangan Jabatan Imigresen Malaysia.

 
Memikul amanah dan integriti,
Komitmen digalas penuh bererti;
Fikiran rasional, akhlak terpuji,
Kekal bestari ,AKRAB di hati.

 
Sekian, terima kasih. 

TUAN AZNEE BIN ABDUL
Pengerusi AKRAB Jabatan Imigresen Malaysia