Profil AKRAB

Kata Kunci Psikologi

Akta Kaunselor

Satu akta yang memperuntukkan pendaftaran dan amalan kaunselor dan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling.

“Brain Washing”

Suatu usaha yang dibuat bagi memastikan supaya berlaku sesuatu perubahan yang radikal terhadap kepercayaan atau tingkah laku dengan menggunakan tekanan secara fizikal, psikologikal atau sosial.

Kaunseling

Proses perhubungan untuk memberi bantuan secara sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional yang bertujuan menghasilkan perubahan, perkembangan, dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh berlandaskan etika kaunseling.

Kaunseling Individu

Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara seorang kaunselor dengan seorang klien.

Kaunseling Kelompok

Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara kaunselor dengan beberapa orang klien.

e-Kaunseling / Tele-kaunseling

Satu proses perhubungan menolong secara tidak bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien.

Intervensi Krisis

Pendekatan yang memberi fokus kepada situasi kritikal dengan memberi perhatian serta-merta kepada peristiwa seperti keganasan rumah tangga, penceraian, pergaduhan, konflik, bencana alam dan lain-lain.

Kaunselor

Profesion terlatih dalam bidang kaunseling ataupun bidang-bidang berkaitan seperti kerjaya, perkahwinan, seksual, pendidikan, pengurusan dan lain-lain, dan mampu bertindak sebagai pembimbing dengan memberi maklumat dan cadangan untuk membantu klien mengenal pasti kebolehan diri serta melakukan perubahan, membuat keputusan dan menentukan matlamat.

Kaunselor Berdaftar

Kaunselor yang didaftarkan di bawah seksyen 26 dan 27 di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan dibenarkan mengikut undang-undang menjalankan aktiviti kaunseling.

Kebimbangan

Satu keadaan emosi yang tidak selesa yang diakibatkan oleh tekanan (stress) atau konflik dan dikategorikan sebagai takut dan berhati-hati.

Kecelaruan

Situasi dalam diri individu atau mana-mana kumpulan yang menggambarkan fenomena luar biasa ataupun yang sukar difahami oleh individu lain. Selalunya dikaitkan dengan gangguan mental.

Klien (Perspektif Kaunseling)

Individu yang berurusan dengan kaunselor ataupun psikologis untuk mendapatkan sebarang perkhidmatan mahupun rawatan.

Konflik

Istilah yang merujuk kepada situasi di mana keperluan, matlamat atau tindakan tidak boleh bersaing antara satu sama lain.

Lembaga Kaunselor

Perbadanan yang berkuasa dan dipertanggungjawabkan untuk menyelia dan menilai pemberian perkhidmatan, latihan kaunselor, tatatertib kaunselor dan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling seperti yang termaktub dalam Akta Kaunselor 1998.

Motivasi

Istilah yang merujuk kepada desakan dari hati dan naluri yang menggerakkan seseorang untuk membuat sesuatu tindakan, yang merangkumi segala jenis desakan, rangsangan, keperluan, kehendak, kemahuan dan kuasa-kuasa lain untuk mencapai sesuatu matlamat.

Psikologi Klinikal

Salah satu cabang psikologi yang lebih mengutamakan penggunaan teori dan kajian-kajian psikologi untuk mendiagnosis dan merawat masalah-masalah yang berkaitan emosi, mental atau tingkah laku luar biasa.

Tekanan (Stress)

Keadaan tegang yang menyebabkan sistem tubuh badan dalam keadaan yang tidak stabil serta perasaan risau yang keterlaluan terhadap sesuatu perkara.

Teori Pemusatan Klien

Suatu bentuk psikoterapi yang diasaskan oleh Carl Rogers yang dibuat berdasarkan penerimaan klien tanpa bersyarat. Klien biasanya tidak didiagnosis bagi sebarang tujuan rawatan, sebaliknya lebih menumpukan kepada sumber psikik klien agar dia dapat menyelesaikan masalahnya.

Terapi Tingkah Laku

Satu bentuk psikoterapi yang dibuat berdasarkan andaian behaviorisme untuk mengubah tingkah laku lama yang tidak diingini kepada suatu bentuk tingkah laku baru.

Ujian Psikologi

Bentuk ujian yang telah dipiawaikan (ujian, inventori dan skala) yang digunakan untuk mengukur kecerdasan, kebolehan mental secara umum dan spesifik, kebolehan dalaman, nilai, minat, personaliti, motivasi dan bidang-bidang psikologikal lain yang telah dibangunkan dan mempunyai kesahan, kebolehpercayaan dan kepiawaian.

Ujian Psikometrik

Ujian psikologi berbentuk kualitatif dan menggunakan teknik statistikal yang ditadbir dengan bantuan ahli yang mahir dalam ujian psikologikal untuk menentukan tahap kecerdasan, minat dan mana-mana ujian mental.