Kata Kunci Psikologi
Akta Kaunselor
Satu Akta yang memperuntukkan pendaftaran dan amalan kaunselor dan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling.
“Brain Washing”
Suatu usaha yang dibuat bagi memastikan supaya berlaku sesuatu perubahan yang radikal terhadap kepercayaan atau tingkah laku dengan menggunakan tekanan secara fizikal, psikologikal atau sosial.
Kaunseling
Proses perhubungan untuk memberi bantuan secara sistematik berasaskan prinsip psikologi yang dilakukan oleh kaunselor profesional yang bertujuan menghasilkan perubahan, perkembangan, dan penyesuaian peribadi klien yang baik dan menyeluruh berlandaskan etika kaunseling.
Kaunseling Individu
Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara seorang kaunselor dengan seorang klien.
Kaunseling Kelompok
Satu proses perhubungan menolong secara bersemuka antara kaunselor dengan beberapa orang klien.
e-Kaunseling / Tele kaunseling
Satu proses perhubungan menolong secara tidak bersemuka antara seorang kaunselor dengan klien
Intervensi Krisis
Pendekatan yang memberi fokus kepada situasi kritikal dengan memberi perhatian serta merta kepada peristiwa seperti keganasan rumahtangga, penceraian, pergaduhan, konflik, bencana alam dan lain-lain.
Kaunselor
Profesion terlatih dalam bidang kaunseling ataupun bidang-bidang berkaitan seperti kerjaya, perkahwinan, seksual, pendidikan, pengurusan dll dan mampu bertindak sebagai pembimbing dengan memberi maklumat dan cadangan untuk membantu klien mengenalpasti kebolehan diri serta melakukan perubahan dan membuat keputusan dan menentukan matlamat.
Kaunselor Berdaftar
Kaunselor yang didaftarkan di bawah seksyen 26 dan 27 di bawah Lembaga Kaunselor Malaysia dan dibenarkan mengikut undang-undang menjalankan aktiviti kaunseling.
Kebimbangan
Adalah satu keadaan emosi yang tidak selesa yang diakibatkan oleh tekanan (stress) atau konflik dan dikategorikan sebagai takut dan berhati-hati.
Kecelaruan
Situasi dalam diri individu atau mana-mana kumpulan yang menggambarkan fenomena luar biasa ataupun yang sukar difahami oleh individu lain. Selalunya dikaitkan dengan gangguan mental.
Klien (Perspektif Kaunseling)
Individu yang berurusan dengan kaunselor ataupun psikologis untuk mendapatkan sebarang perkhidmatan mahupun rawatan.
Konflik
Istilah yang merujuk kepada situasi di mana keperluan, matlamat atau tindakan yang tidak boleh bersaing antara satu sama lain.
Lembaga Kaunselor
Perbadanan yang berkuasa dan dipertanggungjawabkan untuk menyelia dan menilai pemberian perkhidmatan, latihan kaunselor, tatatertib kaunselor dan perkara-perkara yang berkaitan dengan perkhidmatan kaunseling seperti yang termaktub dalam Akta Kaunselor 1998.
Motivasi
Istilah yang merujuk kepada desakan dari hati dan naluri yang menggerakkan seseorang untuk membuat sesuatu tindakan yang merangkumi segala jenis desakan, ransangan, keperluan, kehendak, kemahuan dan kuasa-kuasa lain untuk mencapai sesuatu matlamat.
Psikologi Klinikal
Salah satu cabang psikologi yang lebih mengutamakan penggunaan teori dan kajian-kajian psikologi untuk mendiagnosis dan merawat masalah-masalah yang berkaitan emosi, mental atau tingkahlaku bilazim.
Tekanan (Stress)
Keadaan tegang yang menyebabkan sistem tubuh badan dalam keadaan yang tidak stabil serta perasaan risau yang keterlaluan terhadap sesuatu perkara.
Teori Pemusatan Klien
Suatu bentuk psikoterapi yang diasaskan oleh Carl Rogers yang dibuat berdasarkan penerimaan klien tanpa bersyarat. Klien biasanya tidak didiagnosis bagi sebarang tujuan rawatan sebaliknya lebih menumpukan kepada sumber psikik klien agar dia dapat menyelesaikan masalahnya.
Terapi Tingkahlaku
Satu bentuk psikoterapi yang dibuat berdasarkan andaian behaviorisme untuk mengubah tingkahlaku lama yang tidak diingini kepada suatu bentuk tingkahlaku baru.
Ujian Psikologi
Bentuk ujian yang telah dipiawaikan (ujian, inventory dan skala) yang digunakan untuk mengukur kecerdasan, kebolehan mental secara umum dan spesifik, kebolehan dalaman, nilai, minat, personaliti, motivasi dan bidang-bidang psikologikal yang lain yang telah dibangunkan dan mempunyai keesahan, kebolehpercayaan dan kepiawaian.
Ujian Psikometrik
Ujian psikologi berbentuk kualitatif dan menggunakan teknik statistikal yang ditadbir dengan bantuan ahli yang mahir dalam ujian psikologikal untuk menentukan tahap kecerdasan, minat dan mana-mana ujian mental.