Pilihan Bahasa:

Permit Masuk

1.PROSIDUR PERMOHONAN PERMIT MASUK

  • Permit Masuk merupakan suatu dokumen yang membenarkan seseorang warganegara asing yang bukan bertaraf warganegara Malaysia untuk masuk dan tinggal di Malaysia. Permohonan Permit Masuk adalah terbuka kepada individu yang bukan bertaraf warganegara Malaysia (warganegara asing) yang ingin berada dan menetap di Negara ini
  • Semua permohonan Permit Masuk hendaklah dikemukakan di Pejabat Imigresen Negeri mengikut alamat tempat tinggal pemohon kecuali bagi Kategori A1: Pakar (Individu berbakat dan berkemahiran tinggi) yang perlu dikemukakan di Ibu Pejabat Imigresen.
  • Pemohon dan penaja hendaklah hadir bersama-sama semasa permohonan dikemukakan.

2.KATEGORI PERMOHONAN PERMIT MASUK

  • Golongan yang layak untuk dipertimbangkan Permit Masuk:-
  1. Kategori Suami / Isteri / Anak umur bawah 18 tahun kepada warganegara
  2. Kategori Pelabur (High Net Worth Individual)
  3. Kategori A1: Pakar dan Kategori A2: Profesional
  4. Kategori Sistem Mata

A.Kategori Suami / Isteri / Anak (umur bawah 18 tahun) kepada warganegara

  • Suami dan isteri warganegara asing kepada warganegara yang telah berkahwin dan telah mendaftar perkahwinan di Malaysia yang mempunyai Pas Lawatan (Sosial) boleh mengemukakan permohonan Permit Masuk pada tahun keenam.                  
  • Permohonan Permit Masuk hendaklah ditaja oleh pasangan warganegara dan dikemukakan di Pejabat Imigresen Negeri atau Pejabat Imigresen Cawangan yang berhampiran dengan tempat tinggal pemohon atau penaja.
  • Anak kepada warganegara yang berumur di bawah (18) tahun adalah layak untuk memohon Permit Masuk dan hendaklah ditaja oleh ibu / bapa yang bertaraf warganegara.
  • Tuntutan sebagai warganegara perlu disemak di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) terlebih dahulu sebelum mengemukakan permohonan Permit Masuk bagi permohonan anak tersebut.

Wang Cagaran Bagi Isteri / Suami Kepada Warganegara
Wang cagaran hendaklah dibayar oleh pasangan kepada warganegara yang telah diluluskan Pas Lawatan (Sosial) Jangka Panjang berdasarkan jumlah yang telah ditetapkan dan boleh dituntut semula selepas 2 tahun dari tarikh dokumen Permit Masuk ( Im. 5 ) dikeluarkan.

B.Kategori Pelabur (High Net Worth Individual)

  • Pelabur yang mempunyai pelaburan melebihi dua (2) juta USD dan menyimpan dalam bentuk simpanan tetap (fixed deposit) dalam bank-bank tempatan dan tidak boleh dikeluarkan untuk tempoh lima (5) tahun. 
  • Surat Perakuan Sumpah perlu dikemukakan iaitu untuk tidak mengeluarkan simpanan tersebut dalam tempoh lima (5) tahun.
  • Pasangan dan anak-anak berumur di bawah 18 tahun kepada pelabur yang telah dikeluarkan Permit Masuk boleh dipertimbangkan kemudahan pas lawatan jangka panjang yang bersesuaian untuk tinggal bersama-sama pelabur berkenaan. Mereka boleh memohon Permit Masuk selepas lima (5) tahun menetap di Malaysia dengan pas lawatan jangka panjang tersebut.
  • Permohonan hendaklah dikemukakan melalui seorang penaja tempatan berstatus warganegara Malaysia di Pejabat Imigresen Negeri berdasarkan alamat tempat tinggal pemohon.

C.Kategori A1: Pakar dan Kategori A2: Profesional

  • Individu yang mempunyai kepakaran atau kelulusan professional yang membolehkan ia memberi perkhidmatan kepada negara ini tanpa menjejaskan kepentingan warganegara yang sedia ada.  
  • Kategori ini terbahagi kepada dua (2) iaitu:-

i.Kategori A1: Pakar

  • Merupakan individu yang berbakat dan berkemahiran tinggi
  • Memiliki kepakaran dalam bidang kritikal dan mencapai taraf ‘World Class’ dan diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa.
  • Kepakaran ditentukan oleh Agensi Kawal Selia yang berkaitan di Malaysia.
  • Memiliki Surat Perakuan Kelakuan Baik (Letter of Good Conduct) dari negara asal sebagai jaminan pemohon tiada rekod jenayah di negara asal.
  • Permohonan hendaklah dikemukakan di Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya melalui seorang penaja tempatan serta menamakan dua (2) orang warganegara Malaysia sebagai rujukan terhadap permohonan.

ii.Kategori A2: Profesional

  • Memiliki kemahiran dalam bidang kritikal yang telah diperakui oleh Agensi Kawal Selia yang berkaitan di Malaysia.
  • Memiliki Surat Perakuan Kelakuan Baik (Letter of Good Conduct) dari negara asal.
  • Telah bekerja di agensi Kerajaan atau swasta di negara ini bagi tempoh melebihi (3) tahun dan jawatan yang disandang hendaklah disahkan oleh Agensi Kawal Selia yang berkaitan di Malaysia.
  • Permohonan hendaklah dikemukakan melalui seorang penaja tempatan di Pejabat Imigresen Negeri serta menamakan dua (2) orang warganegara Malaysia sebagai rujukan terhadap permohonan.

Senarai Agensi Kawal Selia

BIL.

AGENSI KAWAL SELIA

BIDANG

1.

KEMENTERIAN KESIHATAN MALAYSIA

KESIHATAN DAN PERUBATAN

2.

KEMENTERIAN PERDAGANGAN ANTARABANGSA DAN INDUSTRI

INDUSTRI DAN PEMBUATAN

3.

KEMENTERIAN PERTANIAN DAN INDUSTRI ASAS TANI

PERTANIAN DAN PEMAKANAN

4.

KEMENTERIAN PENGANGKUTAN

MARITIM, UDARA DAN DARAT

5.

KEMENTERIAN PENDIDIKAN

PENDIDIKAN

6.

KEMENTERIAN TENAGA SAINS TEKNOLOGI, ALAM SEKITAR DAN PERUBAHAN IKLIM

SAINS DAN TEKNOLOGI

7.

KEMENTERIAN PELANCONGAN, SENI DAN BUDAYA

SENI DAN BUDAYA

8.

KEMENTERIAN BELIA DAN SUKAN

SUKAN

9.

KEMENTERIAN KOMUNIKASI DAN MULTIMEDIA

KOMUNIKASI

10.

BANK NEGARA MALAYSIA

PERBANKAN DAN KEWANGAN

11.

SURUHANJAYA SEKURITI

PASARAN MODAL

D.Kategori Sistem Mata

  • Terbuka kepada warganegara asing yang tidak termasuk dalam tiga (3) kategori di atas (A, B & C) serta pemegang Pas Lawatan Kerja Sementara (PLKS) dan peserta program Malaysia MySecond Home (MMSH)
  • Kategori Sistem Mata ini dipertimbangkan kepada individu yang benar-benar layak dan memberi sumbangan kepada kemajuan negara.
  • Pertimbangan Permit Masuk Kategori Sistem Mata ini dibuat berdasarkan tujuh (7) kriteria utama :-
  1. Umur
  2. Kelayakan akademik
  3. Kemahiran Bahasa Malaysia
  4. Tempoh menetap di Malaysia
  5. Ikatan kekeluargaan dengan warganegara Malaysia
  6. Nilai pelaburan
  7. Pengalaman kerja
  • Pemohon perlu mendapat sekurang-kurangnya 65 mata daripada jumlah keseluruhan 120 bagi membolehkan permohonan Permit Masuk dipertimbangkan.

3.SYARAT-SYARAT KEPADA PEMEGANG PERMIT MASUK

  • Permit Masuk merupakan anugerah tertinggi yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia kepada warganegara asing.
  • Permit Masuk boleh ditarik semula sekiranya telah melanggar syarat-syarat yang telah ditetapkan iaitu:
  1. Berkelakuan baik sepanjang masa dan mematuhi undang-undang negara ini.
  2. Dilarang menganggotai, menyertai dan melibatkan diri dengan apa cara sekalipun dalam pertubuhan politik.
  3. Tidak boleh samada secara bersendirian atau sebaliknya menyertai atau melibatkan diri dengan apa cara sekalipun dalam pertubuhan yang mengkritik atau menentang Kerajaan atau menjatuhkannya secara kekerasan.
  4. Tidak boleh secara bersendirian atau sebaliknya menyertai pertubuhan yang bergiat dalam aktiviti yang menimbulkan kesan negatif kepada keselamatan negara, ketenteraman awam, kesihatan awam dan kemoralan.

4.KEMUDAHAN KEPADA PEMEGANG PERMIT MASUK

  • Dibenarkan untuk bermastautin di Malaysia tanpa had tempoh tetapi masih perlu memastikan pasport negara asal masih lagi sah laku.
  • Dibenarkan untuk bekerja, belajar dan menjalankan perniagaan tanpa perlu menukar kepada pas-pas yang lain.
  • Dibenarkan untuk memiliki hartanah.
  • Tidak layak untuk mengundi dalam Pilihan Raya.
  • Boleh memohon taraf kewarganegaraan iaitu:
  1. Isteri asing kepada warganegara di bawah Perkara 15 (1) Perlembagaan Persekutuan selepas bermastautin di Malaysia sekurang- kurangnya 2 tahun secara terus menerus;
  2. Anak-anak warganegara asing kepada warganegara Malaysia di bawah Perkara 15 (2) atau 15 (3) Perlembagaan Persekutuan; dan
  3. Selain dari isteri / anak-anak kepada warganegara di bawah Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan selepas bermastautin sekurang-kurangnya 10 hingga 12 tahun di Negara ini.

5.PENGELUARAN PERMIT MASUK

  • Bagi permohonan dari Semenanjung Malaysia, dokumen Permit Masuk akan dikeluarkan di Ibu Pejabat Imigresen Malaysia, Putrajaya manakala bagi Sabah dan Sarawak, dokumen akan dikeluarkan di Pejabat Imigresen Negeri berkenaan.
  • Pemohon dan penaja perlu hadir bersama-sama di kaunter Imigresen semasa proses penyerahan dokumen Permit Masuk dilakukan.
  • Kadar bayaran yang ditetapkan bagi setiap pengeluaran Permit Masuk ialah RM120.00.

6.RAYUAN PERMOHONAN PERMIT MASUK

  • Pertimbangan dan keputusan permohonan Permit Masuk dibuat oleh Ketua Pengarah Imigresen Malaysia selaras dengan akta dan peraturan yang berkuatkuasa.
  • Bagi permohonan yang telah ditolak, rayuan boleh dikemukakan kepada YAB Menteri Dalam Negeri (MDN) melalui Ketua Setiausaha di alamat:

KETUA SETIAUSAHA

Kementerian Dalam Negeri (KDN)

Bahagian Hal Ehwal Imigresen

Aras 4, Blok D2 Kompleks D

Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan

62546 PUTRAJAYA

SENARAI SEMAK

1.

Senarai Semak Bagi Permohonan Permit Masuk Isteri / Suami / Anak (18 Tahun Dan Ke Bawah) Warganegara Asing Kepada Warganegara Malaysia

2.

Senarai Semak Bagi Permohonan Permit Masuk Kategori Pelabur (Pasangan dan anak-anak berumur bawah 18 tahun)

3.

Senarai Semak Bagi Permohonan Permit Masuk Kategori A1 : Pakar & Kategori A2 : Profesional (Pasangan dan anak-anak ( bawah 18 tahun ) Kepada Pakar (A1) / Profesional (A2)

4.

Senarai Semak Bagi Permohonan Permit Masuk Kategori Sistem Mata

5.

Senarai Semak Bagi Permohonan Permit Masuk Di Bawah Program Menggalakkan Warganegara Malaysia Yang Berkepakaran Yang Bekerja Di Luar Negara Pulang Ke Malaysia (Returning Expert Programme REP)

6.

Senarai Semak Penyerahan Dokumen Permit Masuk

Imigresen Qrcode
Kemaskini terakhir: 18 November 2019.

Jumlah pelawat hari ini: 9217
Jumlah pelawat keseluruhan: 17749489