AKADEMI IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia

08/11/2026 9:41 am

Pertandingan Larian Rentas Kampung-30 Oktober 2026

Mini Karnival Sukan (MKS) 2026 Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) diteruskan dengan penganjuran Pertandingan Larian Rentas Kampung yang berlangsung pada 30 Oktober 2026 (Jumaat), bermula pada pukul 8.30 pagi.
Pertandingan yang bermula di pintu pagar utama Akademi Imigresen Malaysia itu telah disertai oleh warga AIMM yang mewakili Kumpulan 1, Kumpulan 2 dan Kumpulan 3. Penganjuran acara ini bukan sahaja bertujuan menggalakkan gaya hidup sihat dan kecergasan fizikal, malah turut menjadi platform untuk memupuk semangat kesukanan, kerjasama berpasukan serta mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan warga AIMM.
Berdasarkan keputusan pertandingan, Kumpulan 2 mencatatkan purata masa larian terpantas iaitu 22.5 minit, diikuti Kumpulan 1 dengan purata masa 23 minit, manakala Kumpulan 3 mencatatkan purata masa 23.5 minit.
Turut mencuri perhatian ialah pencapaian individu apabila PI Carlos Julianto Donald dinobatkan sebagai Pelari Lelaki Terpantas dengan catatan masa 15 minit. Sementara itu, PI Sheronnisya Anak Matif berjaya meraih gelaran Pelari Wanita Terpantas dengan catatan masa 23 minit.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua peserta, khususnya para pemenang atas komitmen dan semangat juang yang ditunjukkan sepanjang pertandingan berlangsung.
Pertandingan ini merupakan anjuran Unit Sukan Akademi Imigresen Malaysia dengan kerjasama Kelab Rekreasi dan Kebajikan Akademi Imigresen Malaysia (REKA).
Diharapkan penganjuran aktiviti seumpama ini dapat terus menyemarakkan budaya hidup sihat serta memperkukuh semangat kebersamaan dalam kalangan warga Akademi Imigresen Malaysia.