AKADEMI IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia

08/11/2026 9:42 am

Majlis Penutup Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 2 Tahun 2026-02 Oktober 2026

Majlis Penutupan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 2 Tahun 2026 telah berlangsung di Dewan Baiduri, Akademi Imigresen Malaysia (AIMM), pada
02 Oktober 2026 bermula pada pukul 9.00 pagi.
Majlis penutupan tersebut telah disempurnakan oleh YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban, Ketua Pengarah Imigresen Malaysia. Seramai 25 orang kadet telah berjaya menamatkan latihan selama 61 hari dengan penuh disiplin, kecekalan dan komitmen sepanjang mengikuti kursus yang telah ditetapkan.
Dalam ucapan penutup, YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban menekankan kepentingan aspek disiplin, amanah dan kekuatan mental dalam melaksanakan tanggungjawab serta menghadapi cabaran ketika menjalankan tugas di penempatan masing-masing kelak.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada YBrs. Tuan Norazan bin Jenal, Pengarah Akademi Imigresen Malaysia, barisan jurulatih, urus setia serta seluruh warga AIMM atas komitmen, dedikasi dan kerjasama yang diberikan sepanjang pelaksanaan kursus.
Dalam pada itu, beliau berharap agar para kadet sentiasa menjadikan integriti sebagai prinsip yang tidak boleh dikompromi, profesionalisme sebagai budaya kerja dan amanah sebagai asas dalam setiap tindakan. Setiap tugas yang dilaksanakan bukan sahaja mencerminkan diri sendiri, malah turut membawa nama serta imej Jabatan Imigresen Malaysia.
Majlis penutupan ini turut menjadi simbolik kepada berakhirnya fasa latihan dan bermulanya lembaran baharu bagi para kadet dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai warga Jabatan Imigresen Malaysia.
Tahniah dan syabas diucapkan kepada semua kadet atas kejayaan menamatkan Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 2 Tahun 2026. Semoga segala ilmu, kemahiran dan pengalaman yang diperoleh sepanjang latihan menjadi bekalan dalam melaksanakan tugas dengan penuh profesionalisme, integriti dan kecemerlangan demi memperkukuh penyampaian perkhidmatan Jabatan Imigresen Malaysia kepada masyarakat dan negara.