AKADEMI IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia

23/03/2026 9:41 am

Majlis Amanat Ketua Pengarah Imigresen Bersama Kadet Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan
-27 Februari 2026

Majlis Amanat Ketua Pengarah Imigresen Malaysia bersama Kadet Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 1 Tahun 2026 telah berlangsung pada 27 Februari 2026 di Akademi Imigresen Malaysia.
Amanat telah disampaikan oleh YBhg. Dato’ Zakaria bin Shaaban, Ketua Pengarah Imigresen yang menyampaikan pesanan penuh inspirasi kepada para kadet. Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa disiplin, integriti dan kesetiaan yang tidak berbelah bahagi kepada undang-undang merupakan tunjang utama dalam membentuk sahsiah serta jati diri seorang pegawai imigresen. Profesion ini, menurut beliau, bukan sekadar satu tanggungjawab rutin, malah satu amanah besar dalam mempertahankan kedaulatan negara serta memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.
Beliau turut menyeru agar setiap kadet memanfaatkan tempoh latihan dengan sebaiknya melalui persediaan menyeluruh dari aspek mental, fizikal dan intelektual. Keseimbangan ini penting dalam melahirkan pegawai yang bukan sahaja cekap dan tegas dalam pelaksanaan tugas, malah berpegang teguh kepada nilai profesionalisme, etika dan prinsip perkhidmatan awam yang unggul.
Majlis kemudiannya diteruskan dengan Jamuan Berbuka Puasa dalam suasana penuh ukhuwah dan semangat kekeluargaan bersempena bulan Ramadan. Momen kebersamaan ini menjadi lambang hubungan erat antara kepimpinan dan para kadet, sekali gus menyemarakkan iltizam bersama untuk melahirkan barisan pegawai imigresen yang berwibawa, berintegriti serta komited dalam menggalas amanah negara.