AKADEMI IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia

08/11/2026 11:10 am

Sesi Ekspektasi Pengarah AIMM bersama Kadet Siri 2 Tahun 2026-22 September 2026

PORT DICKSON, 22 SEPTEMBER 2026 – Sesi Ekspektasi Pengarah Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) bersama Kadet Kursus Sijil Asas dan Sijil Tinggi Keimigresenan Siri 2 Tahun 2026 telah berlangsung pada pukul 2.30 petang bertempat di Dewan Baiduri, Akademi Imigresen Malaysia.
Sesi yang dikendalikan oleh YBrs. Tuan Norazan bin Jenal, Pengarah Akademi Imigresen Malaysia, bertujuan menyampaikan amanat serta menetapkan ekspektasi kepada para kadet sepanjang mengikuti latihan dan pembelajaran di AIMM.
Dalam sesi tersebut, YBrs. Tuan Pengarah menekankan beberapa perkara utama yang perlu diberi perhatian oleh para kadet, khususnya berkaitan integriti tanpa kompromi, pematuhan terhadap arahan dan peraturan, profesionalisme dalam melaksanakan tanggungjawab, ketegasan dalam membuat keputusan serta komitmen terhadap pembelajaran secara berterusan.
Beliau turut menegaskan bahawa nilai integriti dan disiplin perlu menjadi asas dalam pembentukan jati diri setiap kadet sebagai bakal warga Jabatan Imigresen Malaysia. Para kadet juga diingatkan agar sentiasa mematuhi arahan yang ditetapkan, mengamalkan sikap profesional serta berusaha meningkatkan pengetahuan, kemahiran dan kompetensi secara berterusan.
Sesi ekspektasi ini diharap dapat memberikan kefahaman yang jelas kepada para kadet mengenai aspirasi dan harapan pihak pengurusan AIMM, di samping menjadi panduan dalam membentuk pegawai yang berintegriti, berdisiplin, profesional dan berwibawa selaras dengan aspirasi Jabatan Imigresen Malaysia, iaitu “Melakar Wajah Baharu Jabatan Imigresen Malaysia”.