AKADEMI IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia

07/08/2026 4:12 am

Perjumpaan Setia Berjasa AIMM Bil. 3 Tahun 2026-16 Julai 2026

Majlis Perjumpaan Setia Berjasa Akademi Imigresen Malaysia (AIMM) Bilangan 3 Tahun 2026 telah berlangsung pada 16 Julai 2026 (Khamis), jam 9.30 pagi bertempat di Dewan Intan, Akademi Imigresen Malaysia.
Majlis telah dihadiri oleh YBrs. Tuan Norazan bin Jenal, Pengarah Akademi Imigresen Malaysia, para pegawai kanan serta seluruh warga AIMM. Acara dimulakan dengan nyanyian Lagu Negaraku, Lagu Negeri Sembilan dan Lagu Imigresen Perkasa.
Seterusnya, lafaz Ikrar Rukun Negara telah dipimpin oleh TPPI Mohd Fadly @ Sani bin Mohd Yusof, manakala bacaan doa dipimpin oleh Encik Buang Jasri bin Mohamed. Majlis telah dikendalikan oleh PI Ahmad Haikal bin Mohmad Amir dan PI Sheronnisya Anak Matif selaku juru acara.
Majlis diteruskan dengan sesi ucapan pegawai yang bertukar masuk ke AIMM, iaitu PPI Siti Nooraiza binti Mohd Bakri, PI Carlos Julianto Donald dan PI Nursyahirah binti Mohd Rosli, diikuti ucapan daripada pegawai yang bertukar keluar, iaitu PPI Harjit Singh Harikay a/l Gulzara Singh dan TPPI Mohd Sharil bin Lasim.
Majlis turut menyaksikan Perasmian Program Jom Baca Bersama 10 Minit yang telah disempurnakan oleh YBrs. Tuan Norazan bin Jenal. Seusai perasmian, seluruh warga AIMM bersama-sama menyertai sesi bacaan selama 10 minit. Program ini telah diselaraskan oleh Unit Perpustakaan AIMM sebagai usaha menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan warga AIMM.
Dalam amanatnya, YBrs. Tuan Pengarah menekankan kepentingan menghayati nilai integriti, menjaga nama baik jabatan serta sentiasa peka terhadap arahan tetap dan pekeliling Jabatan Imigresen Malaysia sebagai panduan utama dalam melaksanakan tugas dengan penuh profesionalisme dan berakauntabiliti.
Majlis turut dimeriahkan dengan tayangan montaj sambutan hari lahir warga AIMM bagi bulan Mei hingga Ogos 2026, diikuti penyampaian cenderahati hari lahir oleh YBrs. Tuan Pengarah kepada para pegawai yang diraikan.
Selain itu, turut diadakan penyampaian hadiah kepada pemenang Program Peminjam Buku Terbanyak serta Pertandingan Gambar Paling Kreatif sempena Lawatan ke Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026, anjuran Unit Perpustakaan AIMM.
Majlis diakhiri dengan sesi pemotongan kek hari lahir yang ditaja oleh Kelab Rekreasi dan Kebajikan Akademi Imigresen Malaysia (REKA) bagi meraikan warga AIMM yang menyambut ulang tahun kelahiran bagi bulan Mei hingga Ogos 2026.
Semoga penganjuran majlis seperti ini terus menjadi platform yang mengukuhkan semangat kebersamaan, menghargai sumbangan warga kerja serta memperkasakan budaya kerja cemerlang demi kecemerlangan Akademi Imigresen Malaysia.