AKADEMI IMIGRESEN MALAYSIA

Jabatan Imigresen Malaysia

07/08/2026 4:11 am

Mesyuarat Pembukaan Pelaksanaan Audit Dalaman Jabatan Imigresen Malaysia-07 Julai 2026

Mesyuarat Pembukaan Pelaksanaan Audit Dalaman Jabatan Imigresen Malaysia bagi Sistem Pengurusan Kualiti (SPK) MS ISO 9001:2015 dan Anti-Bribery Management System (ABMS) ISO 37001:2016 telah berlangsung pada 7 Julai 2026 bertempat di Bilik Mesyuarat, Akademi Imigresen Malaysia (AIMM).
Pelaksanaan audit ini dijadualkan berlangsung selama empat hari, iaitu bermula 7 hingga 10 Julai 2026, dan dikendalikan oleh barisan juruaudit daripada Jabatan Imigresen Malaysia.
Mesyuarat pembukaan audit telah dipengerusikan oleh YBrs. Tuan Harun bin Hashim, Ketua Bahagian Latihan, Akademi Imigresen Malaysia. Turut hadir ialah ketua-ketua pusat, ketua-ketua bahagian, ketua-ketua seksyen serta ketua-ketua unit AIMM.
Skop pengauditan merangkumi semakan terhadap prosedur kualiti bagi proses operasi dan sokongan, arahan tetap, pekeliling-pekeliling baharu yang sedang berkuat kuasa, pencapaian objektif kualiti, tahap kesedaran terhadap Sistem Pengurusan Anti-Rasuah (ABMS), serta tindakan penambahbaikan yang telah dilaksanakan susulan teguran audit terdahulu.
Pelaksanaan audit dalaman ini bertujuan memastikan pematuhan terhadap keperluan piawaian yang ditetapkan, di samping memperkukuh keberkesanan sistem pengurusan kualiti dan tadbir urus organisasi secara berterusan demi meningkatkan kecemerlangan penyampaian perkhidmatan Akademi Imigresen Malaysia.