Pilihan Bahasa:

Program Istimewa

Work & Holiday Visa Program

Tujuan
'Work & Holiday Visa Program' ini merupakan satu program istimewa yang memberi peluang kepada generasi muda Malaysia dan Australia untuk melancong sambil bekerja sambilan untuk menampung perbelanjaan harian semasa melancong di Malaysia atau Australia. Program ini juga merupakan salah satu langkah mengeratkan lagi hubungan bilateral di antara Malaysia dan Australia.

Syarat-Syarat Permohonan
Program ini ditawarkan kepada warganegara Malaysia dan Australia yang berminat untuk melancong sambil bekerja dengan syarat pemohon perlu memenuhi kriteria-kriteria berikut:

  1. Bertujuan untuk melancong di Malaysia atau Australia
  2. Berumur di antara 18 - 30 tahun pada masa permohonan
  3. Mempunyai kelulusan pendidikan tinggi atau sekurang-kurangnya sudah menjalani 2 tahun pengajian di peringkat ijazah sarjana muda di universiti
  4. Berkebolehan dalam berbahasa Inggeris;
  5. Tidak membawa bersama anak-anak;
  6. Tidak pernah menyertai program 'Work and Holiday Visa Program'
  7. Mempunyai pasport yang sah dan tiket penerbangan pulang atau wang yang mencukupi bagi pembelian tiket penerbangan tersebut
  8. Mempunyai kewangan yang cukup untuk menampung kehidupan diri sendiri semasa tempoh awal berada di Malaysia atau Australia
  9. Mempunyai rekod kesihatan yang baik:
    • Pemohon Malaysia - perlu memenuhi tahap kesihatan yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Australia
    • Pemohon Australia - perlu mempunyai kesihatan yang baik serta disokong dengan sijil perubatan yang sah yang dikeluarkan oleh doktor bertauliah di Australia; dan
  10. Rekod karakter yang baik:
    • Pemohon Malaysia - perlu memenuhi kriteria karakter yang akan ditentukan oleh Kerajaan Australia dan memperolehi 'Letter of Good Conduct' dari Kementerian Luar Negeri Malaysia
    • Pemohon Australia - tidak boleh mempunyai rekod jenayah
Peserta 'Work and Holiday Visa Program' yang telah memasuki Malaysia atau Australia perlu mematuhi peraturan dan undang-undang negara Malaysia dan Australia dan tidak boleh terlibat di dalam mana-mana kerja yang tidak dibenarkan bagi maksud 'Work and Holiday Visa Program' iaitu:

  1. Tujuan utama lawatan di bawah 'Work and Holiday Visa Program' adalah untuk melancong dan bekerja adalah dengan tujuan menampung kehidupan untuk melancong;
  2. Bagi Malaysia, peserta Australia tidak dibenarkan bekerja:
    • di firma atau syarikat yang memerlukan kelayakan profesional
    • bidang berkaitan industri hiburan seperti menyanyi dan menari
    • bidang spa
    • kaunter perkhidmatan (frontliners)
    • aktiviti sukarela.
  3. Pemegang visa 'Work and Holiday Visa Program' tidak dibenarkan belajar atau menjalani latihan lebih dari tempoh 4 bulan tempoh lawatan
  4. Pemegang visa 'Work and Holiday Visa Program' tidak dibenarkan bekerja dengan satu majikan lebih dari tempoh 6 bulan
  5. 'Work and Holiday Visa Program' secara automatik membenarkan pemegang pas untuk bekerja dan menetap secara sementara di Malaysia atau Australia
  6. Permohonan 'Work and Holiday Visa Program' perlu dilakukan oleh warganegara Malaysia di Kedutaan Australia di Malaysia dan warganegara Australia di Kedutaan Malaysia di Australia;
  7. Pemohon 'Work and Holiday Visa Program' yang terpilih melalui badan-badan Kerajaan perlu mengemukakan surat sokongan daripada Kerajaan masing-masing yang menyatakan bahawa mereka layak menyertai program tersebut; dan
  8. Pemohon akan ditemuduga jika perlu.

Cara Memohon Work And Holiday Visa

Bagi Warganegara Malaysia
Bagi warganegara Malaysia yang berminat menyertai program ini, mereka perlu menjalani beberapa prosedur iaitu:
  1. Mendapatkan borang dari Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur atau secara atas talian di www.imi.gov.my
  2. Mendapatkan 'Letter of Good Conduct' dari Kementerian Luar Negeri, Malaysia sebagai dokumen sokongan bagi mengesahkan bahawa permohonan mereka telah mendapat sokongan Kerajaan Malaysia dan mereka telah memenuhi syarat-syarat permohonan
  3. Menghantar borang tersebut ke pihak Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur. Sekiranya pihak Suruhanjaya Tinggi Australia berpuas hati dengan permohonan tersebut, maka pemohon akan diberikan Borang Pemeriksaan Kesihatan;
  4. Pemohon perlu membuat pemeriksaan kesihatan di panel hospital yang diiktiraf oleh Kerajaan Australia:
    • Keputusan pemeriksaan kesihatan ini akan terus dihantar ke pihak Suruhanjaya Tinggi Australia di Kuala Lumpur tanpa dimaklumkan keputusannya kepada pemohon dan;-
    • Pihak Suruhanjaya Tinggi Australia, Kuala Lumpur akan memaklumkan kepada pemohon sama ada permohonan mereka berjaya atau tidak.

Bagi Warganegara Australia

Bagi warganegara Australia yang berminat menyertai program ini, mereka perlu menjalani beberapa prosedur iaitu:-
  1. Mendapatkan borang dari Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Perth atau secara online di www.imi.gov.my
  2. Mendapatkan surat sokongan dari ACT and Region Office, Department of Immigration and Citizenship of Australia atau agensi berkaitan yang ditetapkan oleh Kerajaan Australia bagi mengesahkan bahawa pemohon mereka telah mendapat sokongan Kerajaan Australia dan mereka telah memenuhi syarat-syarat permohonan;
  3. Menghantar borang permohonan yang lengkap bersama sijil perubatan yang disahkan oleh doktor bertauliah di Australia dan juga bukti tidak pernah melakukan jenayah ke pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra atau Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Perth
  4. Hanya borang permohonan yang lengkap sahaja akan dihantar ke Ibu Pejabat, Jabatan Imigresen Malaysia untuk kelulusan
  5. Pihak Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra dan Pejabat Konsul Jeneral Malaysia di Perth akan memaklumkan kepada pemohon sama ada permohonan mereka berjaya atau tidak.
Kadar Bayaran
Kadar bayaran yang dikenakan ke atas pemohon Australia yang berjaya ialah sebanyak RM90.00 setahun atau sebahagian daripadanya.

Borang Permohonan
Borang IM.12
Borang dari KDN
Imigresen Qrcode
Kemaskini terakhir: 26 July 2017.

Jumlah pelawat hari ini: 83
Jumlah pelawat keseluruhan: 8224921