Pertanyaan Mengenai Visa, Pas dan Permit

1. Kenalan saya dari luar negara ingin mendapatkan rawatan di hospital pakar di Malaysia dan ingin tahu berapa lamakah beliau dibenarkan untuk berada di negara ini? 

Warga asing yang ingin mendapatkan rawatan di hospital kerajaan atau hospital pakar boleh mendapat kemudahan lanjutan Pas Lawatan (Sosial) secara 6 bulan ke 6 bulan.

2. Ibu mertua saya yang sudah berusia 65 tahun dari Indonesia datang ke Malaysia untuk melawat kami sekeluarga. Bolehkah Pas Lawatan (Sosial) nya dilanjutkan bagi tempoh lebih lama kerana mahu menjaga isteri saya yang baru melahirkan anak? 

Orang tua berumur 60 tahun ke atas boleh mendapat kemudahan lanjutan Pas Lawatan (Sosial) secara 6 bulan ke 6 bulan.

3. Semasa saya belajar di United Kingdom, saya telah berkahwin dengan seorang warganegara China dan telah dikurniakan seorang anak lelaki yang yang kini telah berusia 6 tahun dan memegang Pasport British. Saya telah bercerai dengan suami saya dan mendapat hak penjagaan ke atas anak. saya baru kembali ke Malaysia bersama-sama anak, tetapi anak saya telah diberi Pas Lawatan (Sosial) selama satu bulan sahaja. Bolehkah tempoh pas lawatan anak saya dilanjutkan bagi tempoh jangka panjang?

Status anak kepada Warganegara Malaysia melayakkan anak puan memohon lanjutan tempoh Pas Lawatan (Sosial) untuk tempoh 6 bulan ke 6 bulan.
 
4. Apa yang perlu dibuat oleh pemegang Permit Masuk jika ingin meninggalkan Malaysia? 

Pemegang Permit Masuk perlu memohon notis pengesahan Permit Masuk di Pejabat Immigresen Negeri.

5. Berapakah kadar bayaran bagi Permit Masuk? Bolehkah dibayar secara tunai?

RM120.00 dalam bentuk Wang Pos atau Bank Deraf atas nama Ketua Pengarah Imigresen Malaysia.
 
6. Di manakah permohonan Permit Masuk boleh dikemukakan? 

Di pejabat Imigresen Negeri di seluruh Malaysia kecuali Ibu Pejabat Imigresen.

7. Bagaimanakah cara memohon Permit Masuk bagi isteri saya?

Isteri tuan layak memohon Permit Masuk jika telah memenuhi syarat tinggal bersama suami secara berterusan atas Pas Lawatan (Sosial) di Malaysia bagi tempoh lima (5) tahun. Dokumen-dokumen yang diperlukan adalah:

i. Borang Imm.4
ii. 3 keping gambar pemohon (isteri)
iii. keping gambar suami (sebagai penaja)
iv. Salinan sijil nikah /  sijil daftar perkahwinan
v. Salinan pasport pemohon (isteri) yang digunakan sejak memasuki Malaysia sehingga sekarang
vi. Salinan pasport suami sekiranya berkahwin di luar negara
vii. Salinan kad pengenalan suami, sijil lahir suami dan sijil warganegara suami (jika berkaitan)
viii. Salinan sijil lahir / pasport / dokumen perjalanan anak-anak jika ada
ix. Salinan sijil kahwin di negara asal (jika berkaitan)
x. 1  keping gambar perkahwinan
xi. 1 keping gambar keluarga
xii. Kad jemputan / undangan perkahwinan 
 
8. Berapa lamakah perlu isteri saya menunggu untuk mendapatkan kelulusan Permit Masuk?
 
Kelulusan Permit Masuk adalah hak Kerajaan Malaysia yang merupakan anugerah tertinggi oleh Kerajaan kepada orang asing yang layak memohon. Proses kelulusan tidak terikat kepada tempoh tertentu.

9. Isteri saya seorang warga asing dan ingin tinggal bersama saya di Malaysia. Saya telah dinasihatkan untuk memohon Permit Masuk bagi isteri saya. Apakah Permit Masuk itu kerana isteri saya sudah masuk ke Malaysia dan tinggal bersama saya atas Pas Lawatan (Sosial) yang dicop setiap tahun?

Permit Masuk adalah suatu dokumen (Imm.5) yang dikeluarkan di bawah Seksyen 4, Peraturan-Peraturan Imigresen 1959/63. Permit Masuk membolehkan seseorang itu masuk dan menetap tanpa had di Malaysia dan seterusnya adalah berstatus Penduduk Tetap / Pemastautin Tetap. Setelah mendapat Permit Masuk, isteri tuan bolehlah memohon Kad Pengenalan diri di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).