![]() |
PERUTUSAN KETUA PENGARAH JABATAN IMIGRESEN MALAYSIA SEMPENA TAHUN BAHARU 2012 Assalamu'alaikum Warahamatullahi Wabarakatuh, Salam 1Malaysia, Saudara-saudara yang dikasihi, |
|
Dengan labuhnya tirai tahun 2011, saya ingin mengambil kesempatan ini
untuk mengucapkan Selamat Tahun Baharu 2012 kepada anggota Jabatan Imigresen
Malaysia. Marilah kita bersama-sama berdoa kepada Allah SWT semoga usaha
dan komitmen kita selama ini dalam menjalankan tugas yang diamanahkan,
mendapat keredhaan-Nya. Sempena dengan kedatangan tahun baharu ini, marilah kita bersama-sama
mengatur gerak langkah yang lebih cemerlang bagi merealisasikan misi
dan visi Jabatan Imigresen Malaysia ke satu tahap yang lebih tinggi. Tahun 2011 telah menyaksikan Jabatan Imigresen Malaysia berkembang
ke arah era baru yang lebih dinamik dan efisien. Di dalam Tahun 2011
juga Pelan Transformasi Jabatan Imigresen Malaysia telah diluluskan
dan mula dilaksanakan. Pelan Transformasi Jabatan Imigresen Malaysia
2011 adalah berteraskan 8 konsep 1Malaysia, 'Rakyat didahulukan, Pencapaian
diutamakan. Dalam pelan ini, fokus diberikan terhadap Sistem Penyampaian
kepada stakeholders. Keseluruhan pelan transformasi ini memberi penekanan
terhadap integriti, sistem penyampaian perkhidmatan dan kebajikan warga
Imigresen yang mempunyai kaitan dengan banyak faktor termasuk faktor
kemanusiaan, kecekapan sistem penyampaian dan bebanan tugas Jabatan
Imigresen Malaysia. Tahun 2011 juga telah menyaksikan banyak kejayaan dan pencapaian Jabatan
Imigresen Malaysia yang boleh dibanggakan. Kemenangan Anugerah Skytrax
buat 2 tahun berturut-turut bagi perkhidmatan imigresen lapangan terbang
terbaik dunia membuktikan kita telah memberikan sepenuh komitmen dalam
menjalankan tugas. Dalam menjalankan kerja secara berpasukan kita memerlukan iltizam dan
azam menerusi kepimpinan yang dinamik dan semangat kerja yang kental.
Dalam menangani cabaran kerja, jangan sekali-kali berputus asa. Marilah
kita sama-sama berazam dan memberi komitmen untuk menjadikan Tahun Baharu
2012 lebih cemerlang dari tahun-tahun sebelumnya. Akhir kata saya ingin mengucapkan berbanyak terima kasih kepada semua
anggota yang telah menggembeleng tenaga dalam melaksanakan tugas di
Jabatan Imigresen Malaysia. Saya berdoa agar anggota Jabatan Imigresen
Malaysia diberi petunjuk, taufik dan hidayah serta sentiasa sihat dan
selamat dalam menunaikan kewajipan masing-masing dengan penuh komitmen
dan berintegriti. " Selamat Tahun Baharu 2012 " Sekian. " BERKHIDMAT UNTUK NEGARA" ( DATO' ALIAS BIN HAJI AHMAD ) |