Assalamualaikum
warahmatullahi wabarakatuh dan salam sejahtera
Bersyukur ke hadrat allah swt kerana dengan rahmat dan
inayahnya kita masih diperpanjangkan usia agar kita
dapat meneruskan kerja-kerja harian yang diamanahkan.
saya mengharap semua kerja dilaksanakan dengan sempurna,
saksama dan adil serta sering menganggap kerja kita
sebagai suatu ibadah.
Tuan-tuan / puan-puan yang dihormati sekalian, sedar
tak sedar, kita telah memasuki suku ketiga tahun 2008.
dalam erti kata lain, jabatan harus mencapai sekurang-kurangnya
80% daripada segala perancangan program dan pembelanjaan.
oleh yang demikian, eloklah kita sama-sama merenung
kembali program-program yang telah dilapangkan pada
awal tahun samada telah dijalankan atau masih di peringkat
perancangan. waktu merancang sudah tiada kerana dalam
suku ketiga ini sepatutnya kita mula mengkaji keberkesanan
sesuatu program itu.
Tuan-tuan dan puan-puan, saya sebagai ketua pengarah
imigresen ingin mengajak pegawai dan kakitangannya imigresen
memperbetulkan persepsi dengan mempastikan integriti
yang tinggi. integriti bukan sahaja merujuk kepada amalan
rasuah dan salah guna kuasa yang melibatkan wang ringgit
tetapi ia adalah melibatkan keseluruhan amalan harian
dan pekerjaan kita. pegawai dan kakitangan jabatan imigresen
malaysia perlu menghayati dan mengamalkan budaya kerja
berintegriti dan melaksanakan tugas berlandaskan undang-undang
dan peraturan.
Integriti adalah berkaitan dengan harga dan maruah diri.
ia adalah manifestasi ketelusan, kecekapan dan akauntabiliti,
sifat amanah serta tanggungjawab seseorang. integriti
juga adalah cara hidup, budaya dan etika kerja dan kekuatan
moral seseorang pegawai awam.
Saya ingin menggariskan beberapa cabaran mengenai perkara
ini:
(I) Cabaran pertama - komitmen untuk membersihkan imej
dan mengembalikan kepercayaan jabatan imigresen malaysia
dari sudut integriti dan rasuah di mata masyarakat.
(II) Cabaran kedua - komitmen untuk
meningkatkan sistem penyampaian perkhidmatan jabatan
imigresen malaysia dengan lebih telus dan cekap.
(III) Cabaran ketiga - penjenamaan
semula jabatan imigresen malaysia supaya lebih berdaya
saing dan mampu menjadi jabatan yang bebas dari amalan
rasuah dan salah guna kuasa.
(IV) cabaran keempat - isu keselamatan
negara perlu diambil kira dalam melaksanakan tugas imigresen.
apa jua yang dilakukan adalah bagi menjamin keselesaan
hidup rakyat kita di bumi yang kita cintai ini.
(V) cabaran kelima - menyemak dan mengemaskini
akta imigresen 1959 dan akta pasport 1966 agar lebih
jelas dan sistematik dan amalan "best practice"
dapat dilaksanakan. saluran maklumat terbaru berkenaan
prosedur dan kawalan perlu diselaraskan dengan baik
dan disalurkan ke seluruh negeri. jabatan imigresen
malaysia juga perlu mengurangkan budi bicara dan tegas
dalam melaksanakan sesuatu keputusan .
(VI) cabaran keenam - mengamalkan sifat
terbuka jabatan imigresen malaysia kepada kritikan dan
cadangan baru yang mempercepatkan penyampaian perkhidmatan
kepada pelanggannya.
Hala tuju Jabatan Imigresen
Saya ingin mengusulkan supaya jabatan dalam tempoh terdekat
supaya menyusun strategi penjenamaan semula (rebranding)
perkhidmatan imigresen. persepsi dan prasangka buruk
kepada jabatan seperti mengamalkan sistem yang tidak
telus, tidak mesra pelanggan, tidak responsif kepada
keperluan rakyat, tidak profesional, rasuah, lembab
dan birokratik perlu ditangani dengan segera sejajar
slogan jabatan yang baru "perkhidmatan berintegriti".
untuk itu, jabatan imigresen malaysia perlu meningkatkan
kualiti perkhidmatan dari segi kecepatan, ketepatan
dan kos yang rendah. kualiti bukan ditentukan oleh kita
sebagai jabatan tetapi pelanggan kita. sekiranya perkhidmatan
tidak memenuhi ekspektasi pelanggan, bermakna kita tidak
berkualiti.
Walaupun pelanggan adalah sasaran jabatan, saya ingin
ingatkan saudara saudari bahawa kecepatan perlu diimbangi
dengan pertimbangan keselamatan. pastikan sistem tidak
boleh diceroboh dan produk kita tidak mudah ditiru.
untuk itu pasport, permit, visa dan lain-lain dokumen
dapat dikeluarkan dengan penuh tanggungjawab, cepat
dan tepat. jangan kerana mengejar masa, kita keluarkan
dan luluskan secara tidak bertanggungjawab. untuk itu
jabatan perlu ditadbirkan oleh pegawai dan kakitangan
yang memenuhi ciri-ciri pegawai awam berkualiti, beramanah,
ikhlas, cermat dan menepati janji. program-program latihan
jabatan akan diubahsuai mengikut landasan ini.
Perkhidmatan kita harus berkualiti dan orangnya juga
adalah berkualiti. bagi mencapai hasrat ini jabatan
imigresen perlu menyemai semangat keterbukaan kualiti
kepada semua anggotanya. tetapi kualiti yang saya ingin
lihat adalah : "quality is what customers say
it is
and when you want to find out
what the quality is and should be, ask your customer".
oleh itu, untuk menghasilkan perkhidmatan yang berkualiti,
saudara saudari perlu dengar, lihat dan fahami apa orang
lain kata mengenai jabatan imigresen. dengan sikap keterbukaan
kita, kita boleh perbaiki dan gilap perkara yang malap.
jangan terlalu bangga dengan kejayaan yang lepas dan
jangan bersedih apa yang terlepas. bergeraklah secara
berpasukan demi mecapai matlamat yang telah ditetapkan.
Sejajar dengan slogan kerajaan "mesra rakyat",
segala hala tuju jabatan perlu beralih "paradigm
shift" dan kita harus menukar minda ( "mind-set"
) kita bekerja. jangan kita menjadi egoistik maupun
berbangga-bangga akan pangkat yang ada pada bahu kita
kerana semakin tinggi pangkat kita semakin besar dan
berat tanggungjawab kita.
Tuan-tuan dan puan-puan merupakan kakitangan kerajaan
yang harus patuh kepada arahan dan hasrat kerajaan.
semua ini merupakan harapan rakyat terhadap kerajaan
dan kakitangan kerajaan secara khususnya. ini juga merupakan
aspirasi jabatan mencapai 5 bintang dalam sistem star
rating ( ssr ). tugas mengucap "selamat datang",
"selamat pagi", "terima kasih" bersalam
dengan pelanggan dan sebagainya tidak harus ditanggungjawabkan
kepada pegawai tertentu sahaja. amalan baik ini harus
bermula di kalangan kita semua kerana kita harus bermula
pada suatu titik untuk tiba di suatu destinasi .
Saya sangat mengharapkan sokongan tuan-tuan dan puan-puan
dalam memperkenalkan perkhidmatan / produk-produk jabatan
kepada orang awam. di sini saya ingin merakamkan selamat
hari raya aidilfitri kepada seluruh warga kerja jabatan
imigresen malaysia tidak kira di mana sahaja mereka
bertugas. bagi mereka yang merancang untuk pulang ke
kampung halaman mereka, periksa terlebih dahulu kenderaan,
memandulah dengan berhati-hati semoga selamat sampai
dan dapat bersama-sama merayakan hari kebesaran ini
dengan orang tersayang. sebelum saya mengundurkan diri,
izinkan juga saya sekali lagi mengucapkan selamat menjalankan
ibadah berpuasa dan selamat hari raya. maaf zahir dan
batin.
Sekian, wabillahi taufik walhidayah wassalamualaikum
warahmatullah wabarakatuh
Datuk Mahmood bin Adam Ketua
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia
|